RAVICHANDRAN (dua dari kanan) bersama Burhanuddin (tiga dari kiri) menunjukkan makanan ringan yang di dapati menggunakan logo halal tidak sah. FOTO Muhaizan Yahya
RAVICHANDRAN (dua dari kanan) bersama Burhanuddin (tiga dari kiri) menunjukkan makanan ringan yang di dapati menggunakan logo halal tidak sah. FOTO Muhaizan Yahya
Mohd Hafizee Mohd Arop


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyerbu premis membuat makanan ringan yang didapati menggunakan logo halal tanpa kebenaran.

Difahamkan, dua syarikat yang beroperasi di premis terletak di Kawasan Perindustrian Pengkalan, Ipoh, itu menggunakan logo halal pada setiap pembungkusan makanan ringannya seperti keropok, biskut dan ‘wafel’, walaupun tidak memiliki sijil halal.

Pemeriksaan bermula 12 tengah hari semalam yang dijalankan oleh 10 pegawai penguat kuasa KPDNHEP dan dua pegawai JAIPk itu masih dijalankan sehingga hari ini bagi mengenal pasti jumlah keseluruhan produk pembuatan kedua-dua syarikat berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIPk, Burhanuddin Md Dali berkata, satu daripada syarikat berkenaan memiliki sijil halal yang sudah tamat tempohnya pada 31 Disember 2016, manakala satu lagi syarikat tidak pernah memiliki sijil halal.

“Syarikat yang sudah tamat tempoh sijil halal itu didapati tidak lagi memperbaharui sijil berkenaan selepas tarikh itu, namun menjalankan operasinya dengan menggunakan logo halal manakala satu lagi tidak pernah memiliki sijil halal.

“Kesalahan mereka adalah menggunakan logo halal tanpa kebenaran dan JAIPk bersama KPDNHEP mengambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya dalam sidang media di premis berkenaan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPNHEP Perak, V Ravichandran berkata, pihaknya menyita sebanyak 401 bungkusan makanan ringan, 360 kotak dan 91 plastik pembungkus yang mempunyai logo halal.

Katanya, selain itu, KPDNHEP Perak mendapati kedua-dua syarikat itu turut melakukan kesalahan menyimpan barang kawalan berjadual seperti gula, tepung gandum dan gas petroleum cecair (LPG) untuk pembuatan produk berkenaan tanpa permit.

“KPDNHEP turut menahan seorang lelaki dipercayai pemilik premis untuk mengenalpasti beberapa lagi dokumen bagi melengkapkan siasatan termasuk kawasan edaran produk berkenaan selain negeri ini.

“Jumlah rampasan bagi kesemua barangan berjumlah RM41,646 dan kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 bagi kesalahan logo halal dan Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menyimpan barang kawalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 5:45 PM