ANTARA PATI yang ditahan JIM, kelmarin. FOTO Ihsan JIM Kedah
ANTARA PATI yang ditahan JIM, kelmarin. FOTO Ihsan JIM Kedah
Aizat Sharif


BERGELIMPANGAN dalam rumah dan itulah perkara yang dapat dilihat ketika Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah menyerbu rumah kongsi yang disyaki didiami warga asing di Felda Lubuk Merbau, Padang Terap, kelmarin.

Dalam ‘Ops Bersepadu’ yang dilaksanakan bermula 11.50 malam itu, seramai 30 warga asing diperiksa selepas JIM Kedah menerima maklumat berkenaan kehadiran warga asing yang ramai di sekitar kawasan Felda berkenaan.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, daripada jumlah yang diperiksa itu, 15 daripadanya adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai tinggal lebih masa di negara ini

“15 PATI itu adalah lelaki yang terdiri daripada 11 warga Indonesia, tiga warga Bangladesh dan seorang dari Myanmar.

“Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 47 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati PATI berkenaan didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)c Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Selain itu juga, PATI berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1)c Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.

“Operasi selama dua jam itu turut membabitkan 13 anggota dari JIM Kedah,” katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Lokap Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Alor Setar untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 8:44 AM