ANTARA warga asing yang ditahan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen di rumah yang disewa sekitar bandar Sungai Petani dalam Op Mega 3.0. FOTO Ihsan JIM
ANTARA warga asing yang ditahan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen di rumah yang disewa sekitar bandar Sungai Petani dalam Op Mega 3.0. FOTO Ihsan JIM
Noorazura Abdul Rahman


SERAMAI 22 warga asing yang sedang nyenyak tidur, terpinga-pinga apabila rumah sewa mereka di Sungai Petani diserbu anggota Imigresen, malam tadi.

Dalam serbuan 12.30 tengah malam selama lima jam itu, semua mereka yang terdiri dari lima lelaki, lapan wanita serta sembilan kanak-kanak berusia setahun hingga 53 tahun gagal melarikan diri.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, Op Mega 3.0 itu membabitkan 16 anggota yang dilakukan di dua lokasi di sekitar bandar ini

“Lokasi serbuan adalah rumah di Jalan Mawar, Persiaran Aman Jaya, dan di Flat Paya Nahu, di sini.

“Seramai 59 orang diperiksa dan pemeriksaan lanjut menahan 22 warga asing iaitu 19 adalah warga Kemboja dan selebihnya adalah warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zuhair berkata, semua yang ditahan didapati tidak memiliki permit perjalanan yang sah, membenarkan warga asing yang melakukan kesalahan berada dalam premis dan menetap lebih masa.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Kesemua yang ditahan akan dibawa ke depot Belantik untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 9:52 AM