Mohd Fauzi (tiga dari kanan) merasmikan Kempen Bayar Kompaun Tertunggak di Kompleks MPSPK Sungai Petani hari ini. Foto Nor Farhani Che Ad
Mohd Fauzi (tiga dari kanan) merasmikan Kempen Bayar Kompaun Tertunggak di Kompleks MPSPK Sungai Petani hari ini. Foto Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


MAJLIS Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) menawarkan pembayaran kompaun letak kereta tertunggak hanya RM20 menerusi Kempen Bayar Kompaun Tertunggak bermula 1 Oktober ini sehingga 31 Disember.

Yang Dipertua MPSPK Mohd Fauzi Mustaffa berkata, potongan kompaun yang diberikan adalah bersempena sambutan Jubli Perak MPSPK.

“Kempen ini bertujuan bagi menggalakkan orang ramai datang membuat bayaran untuk mengurangkan saman tertunggak.

“Setiap kompaun yang melebihi tempoh 28 hari dari tarikh kenderaan disaman, layak mendapat tawaran ini yang membabitkan semua jenis kenderaan yang disaman dari 2010 sehingga 2019,” katanya ketika sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tujuh kemudahan cara pembayaran disediakan iaitu melalui kaunter Seksyen Letak Kereta di Kompleks MPSPK dan Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sungai Petani.

Selain itu, menurutnya, pembayaran juga boleh dilakukan melalui pejabat Cawangan MPSPK, kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN), kaunter bas bergerak MPSPK, kaunter luar dan bayaran wang pos di Pos Malaysia.

Menurutnya, melalui kempen itu pihaknya menjangkakan peningkatan hasil kutipan kompaun sekurang-kurangnya 25 peratus daripada bilangan kompaun tertunggak.

Katanya, terdapat lebih RM26 juta kompaun tertunggak terkumpul membabitkan 378,517 kompaun yang dikeluarkan sejak 2010 sehingga kini.

Dalam pada itu, beliau berkata, MPSPK akan mengambil tindakan mahkamah kepada mereka yang sengaja tidak membayar atau gagal membayar kompaun letak kereta yang tertunggak.

“Kita akan terus ambil tindakan kepada mereka yang didapati sengaja tidak mahu bayar atau gagal bayar kompaun tertunggak.

“Setakat ini, sebanyak 138 kes sudah dikenakan tindakan mahkamah membabitkan nilai kompaun tertunggak sebanyak RM44,700,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 3:01 PM