Syaherah Mustafa


SEBANYAK 279 saman warga asing dikeluarkan polis Kelantan melalui Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA 11) Kontinjen Kelantan yang dijalankan bermula kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, saman itu membabitkan warga Thailand yang melakukan kesalahan trafik dan lalu lintas.

Katanya, operasi itu mengurangkan jumlah saman tertunggak warga asing berjumlah 35,592 saman dari 2000 hingga 2009.

“Melalui operasi ini, 299 saman baru dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan lalu lintas manakala 422 lagi membabitkan saman tukar status yang dilaksanakan terhadap pesalah yang mempunyai notis saman tertunggak.

“OSTWA 11 dijalankan bagi memberi kesedaran kepada pesalah trafik warga asing supaya melaksanakan tanggungjawab dalam menyelesaikan saman tertunggak.

“Selain itu, operasi ini memberi impak positif terhadap pengguna kenderaan warga asing supaya mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak melakukan kesalahan trafik ketika berada di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di tapak Sekatan Jalan Raya (SJR) berhadapan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang hari ini.

OSTWA itu adalah yang ke-11 dijalankan di Kelantan selepas negeri lain seperti Johor, Perlis, Kedah dan Perak melaksanakannya sebelum ini.

Hasanudin berkata, 124 pegawai serta anggota dari Kelantan dan Bukit Aman terbabit dalam operasi itu membabitkan empat lokasi iaitu di Bukit Bunga, Tanah Merah; Pengkalan Kubor, Tumpat; Pasir Mas dan Rantau Panjang.

“Empat kaunter bayaran saman disediakan di setiap lokasi SJR sebagai kemudahan kepada pesalah menyemak serta membayar saman mereka.

“Kita berharap operasi ini akan memberi kesedaran kepada pesalah trafik terutama warga asing supaya segera menyelesaikan saman tertunggak atau tampil menyelesaikan saman berstatus waran tangkap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 7:44 PM
HASANUDDIN memeriksa kereta yang keluar masuk dari Thailand dalam OSTWA 11. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
HASANUDDIN memeriksa kereta yang keluar masuk dari Thailand dalam OSTWA 11. FOTO Nik Abdullah Nik Omar