Kereta milik Mazuwari rosak selepas dihempap pokok di TALKI Kuala Terengganu kelmarin. Foto Ihsan Pembaca
Kereta milik Mazuwari rosak selepas dihempap pokok di TALKI Kuala Terengganu kelmarin. Foto Ihsan Pembaca
Ahmad Rabiul Zulkifli


“SAYA masih trauma dengan kejadian itu memandangkan sudah dua kali ia berlaku pada bulan ini,” kata Mazuwari Bakar, 38, pemilik gerai makanan yang dihempap pokok di Taman Awam Lagun Kuala Ibai (TALKI) di Kuala Terengganu.

Kejadian ribut yang berlaku pada 4.10 petang kelmarin itu menyebabkan gerai dan sebuah kereta Proton Saga miliknya rosak teruk selepas dihempap pokok dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM3,000.

Mazuwari berkata, kejadian pertama berlaku pada 14 September lalu di tempat sama tetapi ketika itu ia hanya membabitkan kerosakan pada gerai.

“Namun, kejadian kedua yang berlaku kelmarin bukan hanya merosakkan gerai yang baru dibeli tetapi kereta.

“Saya trauma dengan kejadian ini tetapi bersyukur kerana terselamat daripada dihempap pokok rhu yang patah,” katanya.

Menurutnya, dia berniaga kerabu Maggi di TALKI sejak lima tahun lalu dan kejadian seperti itu tidak pernah berlaku sepanjang tempoh berkenaan.

“Kejadian itu berlaku dalam sekelip mata, ribut datang secara tiba-tiba dan mematahkan pokok rhu dalam tempoh beberapa minit sebelum ia tumbang dan menghempap gerai dan kereta.

“Buat sementara waktu ini, saya ingin berehat seketika daripada berniaga kerana masih terkejut dan bimbang kejadian sama berulang kerana ketika ini keadaan cuaca tidak menentu disebabkan fasa peralihan monsun,” katanya.

Menurutnya, dia berharap pihak bertanggungjawab menilai semula struktur semua pokok rhu di taman berkenaan kerana ia sudah berusia dan boleh membahayakan peniaga dan pengunjung.

“Kami tidak mahu kejadian sama berulang kerana ia bukan hanya membahayakan peniaga tetapi pengunjung yang beriadah di situ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 2:49 PM