KERETA Proton Saga milik Mazuwari rosak akibat dihempat pokok tumbang di Taman Awam Lagun Kuala Ibai (TALKI), Kuala Terengganu. FOTO ihsan pembaca.
KERETA Proton Saga milik Mazuwari rosak akibat dihempat pokok tumbang di Taman Awam Lagun Kuala Ibai (TALKI), Kuala Terengganu. FOTO ihsan pembaca.
Ahmad Rabiul Zulkifli


“SAYA masih trauma memandangkan kejadian ini sudah dua kali berlaku pada bulan ini,” kata Mazuwari Bakar, pemilik gerai makanan yang dihempap pokok di Taman Awam Lagun Kuala Ibai (TALKI), Kuala Terengganu, hari ini.

Kejadian ribut pada 4.10 petang kelmarin itu menyebabkan gerai dan sebuah kereta Proton Saga milik Mazuwari rosak teruk akibat dihempap pokok patah dengan kerugian dianggarkan RM3,000.

Mazuwari, 38, berkata kejadian pertama berlaku pada 14 September lalu di tempat sama, namun ketika itu ia hanya membabitkan kerosakan pada gerai.

“Namun, kejadian kedua kelmarin bukan hanya merosakkan gerai yang baru dibeli, tetapi kereta saya turut rosak.

“Saya trauma dengan kejadian ini, namun bersyukur kerana terselamat daripada dihempap pokok rhu yang patah,” katanya.

Menurutnya, dia berniaga di TALKI sejak lima tahun lalu dan kejadian seperti itu tidak pernah berlaku sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya, kejadian berlaku dalam sekelip mata, ribut datang secara tiba-tiba dan mematahkan pokok rhu dalam tempoh beberapa minit sebelum ia tumbang dan menghempap gerai dan keretanya.

“Buat sementara waktu ini, saya ingin berehat seketika daripada berniaga kerana masih terkejut dan bimbang kejadian sama berulang kerana ketika ini keadaan cuaca tidak menentu disebabkan fasa peralihan monsun.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab menilai semula struktur semua pokok rhu di taman ini kerana ia sudah berusia dan boleh membahayakan peniaga dan pengunjung.

“Kami tidak mahu kejadian sama berulang kerana ia bukan hanya membahayakan peniaga tetapi pengunjung yang beriadah di situ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 12:32 AM