SUKARELAWAN Palang Merah membantu memberi oksigen kepada penduduk tempatan susulan tahap IPU mencecah 310. FOTO AFP
SUKARELAWAN Palang Merah membantu memberi oksigen kepada penduduk tempatan susulan tahap IPU mencecah 310. FOTO AFP
BERNAMA

KIRA-KIRA 100 penuntut Malaysia di Jambi sudah bertolak ke Konsulat Malaysia di Pekanbaru bagi urusan evakuasi berikutan keadaan jerebu di lokasi berkenaan yang kini mencapai tahap berbahaya dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menjangkau 310 sejak 5 petang tadi.

Timbalan Yang Di-Pertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Cawangan Jambi, Muhammad Asyraf Robani berkata, mereka dijangka tiba di Pekanbaru awal pagi esok.

“Sebelum bertolak, penuntut diberi taklimat terlebih dahulu daripada wakil Education Malaysia Indonesia (EM Indonesia) berhubung prosedur evakuasi ke Malaysia dan Jakarta.

“Sejurus tiba di Konsulat Malaysia di Pekanbaru, sebahagian penuntut akan berlepas pulang ke Malaysia manakala selebihnya ke Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta untuk urusan visa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, keadaan jerebu menyebabkan hampir semua penuntut Malaysia di wilayah itu mengalami simptom sakit mata, sesak nafas, sakit kepala dan cirit birit.

Difahamkan, proses evakuasi menggunakan bas dari Jambi ke Pekanbaru mengambil masa sekitar 12 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 10:16 PM