Sukarelawan Palang Merah memantau keadaan kanak-kanak yang mendapat bantuan oksigen di Jambi, Indonesia hari ini. Foto AFP
Sukarelawan Palang Merah memantau keadaan kanak-kanak yang mendapat bantuan oksigen di Jambi, Indonesia hari ini. Foto AFP
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PELAJAR Malaysia di Pekanbaru dan Jambi, Indonesia yang terjejas akibat jerebu teruk akan dievakuasi menggunakan penerbangan komersil.

Menurut Unit Komunikasi Korporat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), penggunaan pesawat komersil itu adalah bagi mempercepatkan proses evakuasi terbabit.

Menurutnya, NADMA, Wisma Putra dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama agensi berkaitan sudah bermesyuarat pagi tadi bagi membincangkan operasi evakuasi pelajar serta rakyat Malaysia yang berada di Pekanbaru dan Jambi.

“Berdasarkan maklumat Konsul Jeneral Malaysia di Pekanbaru dan Education Malaysia-Indonesia, terdapat seramai 306 orang pelajar Malaysia di Pekanbaru dan Jambi yang akan dievakuasi dari kawasan darurat berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 165 pelajar akan dibawa pulang ke Malaysia, manakala 141 lagi akan dievakuasi ke Dewan Malaysia di Jakarta (berkaitan urusan visa),” katanya menerusi satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut NADMA lagi, seramai 141 pelajar yang akan dipindahkan ke Jakarta menggunakan pesawat tempatan negara itu dan mereka akan berada di pusat evakuasi Dewan Malaysia (Malaysia Hall) sehingga keadaan pulih (tempoh darurat 23 hingga 31 September )

Katanya, kumpulan pelajar yang akan tinggal adalah mereka yang perlu membuat permohonan semula visa dan ia dijangka mengambil masa untuk disiapkan.

“Selain itu, kumpulan terbabit juga membabitkan sebilangan pelajar baru yang masih menunggu kelulusan permohonan Kartu Izin Tinggal Sementara (KITAS) daripada pihak imigresen Indonesia.

“Dengan kerjasama mantap semua pihak yang terbabit, kerajaan yakin dapat mengeluarkan semua rakyat Malaysia yang terkesan di kawasan darurat jerebu ini dengan kadar segera,” katanya.

Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 6:13 PM