LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Faliq Lajim


DAKWAAN yang mengatakan pembangunan di Kampung Baru akan mengeluarkan Melayu di tengah ibu kota adalah tidak benar.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dakwaan itu adalah tidak berasas berikutan kepentingan dan kedudukan orang Melayu menjadi teras kepada sesuatu usaha pembangunan Kampung Baru.

“Ini diperuntukkan dalam Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru itu sendiri yang menetapkan kepentingan orang Melayu.

“Ia termasuk sosial, ekonomi, warisan, adat dan budaya, serta nilai sejarah akan diberikan keutamaan dalam setiap pembangunan yang hendak dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian, dalam ucapan video yang disiarkan dalam sesi Townhall bersama pemilik tanah di Kampung Baru di Dewan Perdana FELDA, Jalan Maktab, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, idea pembangunan semula sudah lama dibincangkan sejak sekitar tahun 80 dan 90-an lagi dan cadangan untuk membangunkan sudah diusahakan oleh pihak kerajaan.

“Kampung Baru mempamerkan dua wajah yang bercanggah. Di satu pihak ia sebagai simbol kebanggaan orang Melayu di tengah ibu kota, Kuala Lumpur.

“Di pihak lain, ketika ibu kota pesat membangun dan menjadi sebuah metropolis, masa seolah-olah terhenti di Kampung Baru.

“Keadaan tidak teratur dan kesesakan di Kampung Baru menyebabkan ia bukan satu tempat yang selesa. Untuk mengatasi masalah ini ia perlu dirombak semula.

“Jika sesuatu tidak dilakukan untuk mengubah keadaan Kampung Baru, maka ia akan mungkin bertentangan dengan keadaan di sekelilingnya menyebabkan ia menjadi kelihatan terhimpit di tengah kepesatan pembangunan dan terpinggir dari arus pemodenan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, dalam keadaan sekarang, sebahagian besar orang Melayu sendiri tidak lagi memilih untuk tinggal di Kampung Baru.

“Lebih malang lagi, warga asing sudah mula mendiami dan menjalankan perniagaan di Kampung Baru.

“Saya mengandaikan hal ini berlaku disebabkan suasana Kampung Baru tidak lagi selesa dan mengakibatkan orang Melayu tidak lagi tinggal di situ.

“Kerana itu, adalah lebih baik kawasan ini dibangunkan disusun semula dengan kemudahan awam, jaringan infrastruktur yang efisien berserta kawasan-kawasan lapang untuk aktiviti riadah dan kemasyarakatan,” katanya.

Berkaitan isu kewarisan dan elemen kemelayuan pula, Dr Mahathir berkata, beliau diberitahu sebarang pembangunan di Kampung Baru ini perlu menepati garis panduan seni bina Melayu Islam yang disediakan.

“Ini bermakna, pembangunan Kampung Baru mengambil kira setiap aspek warisan dan sejarahnya. Ia akan mengekalkan sebagai simbol kebanggaan orang Melayu di tengah ibu kota Kuala Lumpur.

“Saya percaya perlaksanaan pembangunan ini tidak hanya bermanfaat kepada tuan dan puan selaku pemilik tanah semata-mata.

“Ia turut membuka ruang lebih ramai lagi orang Melayu untuk tinggal dan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan di Kampung Baru,” katanya.

Berita berkaitan

Empat tawaran untuk pemilik, pewaris tanah Kampung Baru

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 1:11 PM