RAZHIYAH (kanan) memberi penerangan kepada  Dr Khunying mengenai  Teratak Spa.
RAZHIYAH (kanan) memberi penerangan kepada Dr Khunying mengenai Teratak Spa.
Hazira Ahmad Zaidi


KEGIGIHAN serta kreativiti ditunjukkan dalam mendidik pelajar istimewa melayakkan guru pendidikan khas dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji menerima Anugerah Puteri Maha Chakri (PMCA).

Anugerah diperoleh K A Razhiyah Mohamed Khutty, 60, sejak memulakan karier perguruan pada 1985, bukan satu pencapaian baru sebaliknya beliau pernah memenangi beberapa anugerah berprestij sebelum ini.

Antaranya, Anugerah Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia 2019 serta tersenarai antara 50 guru dunia dalam anugerah Hadiah Guru Global 2018 anjuran Yayasan Varkey di London, United Kingdom (UK) pada tahun lalu.

Razhiyah berkata, dia tidak mahu leka mengejar kemasyhuran atau pengiktirafan dicapai, sebaliknya ingin terus berbakti kepada anak didiknya yang istimewa supaya mereka menjadi insan berguna dan berjaya di sebalik kekurangan diri masing-masing.

“Anugerah diterima ini bukan bermakna saya hebat, tetapi bernasib baik kerana masih ada yang hebat dan bekerja keras mendidik anak bangsa.

“Sejak berkhidmat di SMK Panji pada 2006, saya memperkenalkan program Teratak Spa 2008 iaitu projek yang memberi peluang kepada pelajar mengendalikan rawatan kecantikan seperti rawatan muka, kaki dan urutan tangan,” katanya ditemui selepas lawatan Delegasi Thailand sempena Anugerah Puteri Maha Chakri (PMCA) 2019 di SMK Panji, semalam.

Terdahulu, Mantan Setiausaha Am Kementerian Pendidikan Thailand, Dr Khunying Kasama Varavarn menyampaikan sijil kepada Razhiyah yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Abu Hanipah @ Fauzi Zahari.

DR Khunying (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Razhiyah.
DR Khunying (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Razhiyah.

Anugerah PMCA diberikan Yayasan Anugerah Maha Chakri setiap dua tahun sekali bermula 2015 dengan kerjasama Kementerian Pendidikan di 11 negara Asia yang menawarkan hadiah utama berupa wang tunai AS$10,000 (RM41,791) serta plak PMCA.

Sejak 2015, tiga guru dari Malaysia sudah menerima anugerah berprestij ini iaitu Zainuddin Zakaria dari SMK Taman Bukit Maluri dan pada 2017 dimenangi guru dari SMK Imitaz Yayasan Terengganu, Saripah Embong.

Pada tahun ini, anugerah PMCA dimenangi oleh KA Razhiyah dan akan diadakan di Bangkok, Thailand, pada 15 Oktober ini.

Razhiyah berkata, dengan wang kemenangan itu, dia mahu membuka spa orang kurang upaya (OKU) seperti di pasaraya atau lapangan terbang yang menjadi tempat tumpuan orang ramai.

“Kebanyakan pelajar saya mempunyai kemahiran dalam bidang berkenaan dan dapat memberi peluang pekerjaan kepada mereka untuk mencari pendapatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:30 AM