Hadzlihady Hassan


“ADA pelajar memberikan saya wang RM50 dan saya masih simpan sehingga kini,” kata penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2019, Nawi Ismail, 62.

Menurutnya, wang terbabit diberikan seorang pelajar yang mendapat keputusan 4A dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana dikatakan memberi inspirasi kepadanya yang sebelum itu tidak berminat untuk belajar.

“Saya terkejut kerana pelajar terbabit secara tiba-tiba memberitahu yang dia mula bersemangat selepas mendengar satu ceramah motivasi disampaikan saya di sebuah sekolah di Kemaman, Terengganu.

“Mungkin ada kata-kata dalam ceramah itu yang menjadi inspirasi kepada pelajar terbabit kerana dia sebelum itu tidak bersemangat untuk belajar,” katanya.

Menurutnya, selepas menerima keputusan STPM, pelajar berkenaan memberikan wang RM50 kepadanya dan memberitahu wang itu hasil pekerjaannya menjual barang di pasar.

“Itu antara pengalaman manis sepanjang bergelar guru. Bagi saya tiada isitilah pelajar lembab sebaliknya hanya ada pelajar lemah namun mereka berusaha berbanding yang rajin tetapi pemalas,” katanya.

Nawi yang juga bekas Guru Cemerlang Gred Khas C berpengalaman mengajar subjek Bahasa Melayu selama 37 tahun, bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, Kuala Terengganu pada 1980.

Beliau kemudian dipindahkan ke Sekolah Menengah (SM) Teknik Kuala Terengganu, Terengganu dan bersara pada 2017 sebelum berkhidmat sebagai penceramah motivasi di sekolah seluruh negara.

ASARIAH dan Nawi bersama anugerah yang diterima. -Foto SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL
ASARIAH dan Nawi bersama anugerah yang diterima. -Foto SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisma Keguruan), Datuk Asariah Mior Shaharuddin, pula dinobatkan sebagai Tokoh Kepemimpinan Pendidikan Kebangsaan 2019.

Asariah menyifatkan kejayaan menaik taraf Maktab Perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) adalah pencapaian terbaik beliau sepanjang tempoh penjawatannya di Kementerian Pendidikan.

“Saya berusaha untuk menaik taraf Maktab Perguruan supaya IPG dapat menghasilkan guru berkualiti dan berkebolehan untuk memperbaiki standard pendidikan negara.

“Kewujudan IPG juga dapat menyasarkan pelajar Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) ke institut berkenaan bagi latihan persediaan sebagai guru,” katanya.

Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM50,000, loket emas bernilai RM10,000 dan plak sumbangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Terdahulu, seramai 3,500 guru dirai dalam sambutan Hari Guru 2019 bertemakan Guru: Obor Hemah Menyinari Pertiwi yang dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Setia Spice, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 6:10 AM
KENANGAN manis sepanjang hayat dua tokoh menerima anugerah yang disampaikan Dr Mahathir di Pusat Konvensyen Setia Spice, semalam.
KENANGAN manis sepanjang hayat dua tokoh menerima anugerah yang disampaikan Dr Mahathir di Pusat Konvensyen Setia Spice, semalam.