Hanneeyzah Bariah Baharin


LEBIH 20,000 penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tidak bersetuju dan membantah cadangan penggabungan dua universiti itu.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dua universiti ternama di Pantai Timur itu berpendapat, penggabungan UMT dan UniSZA bukan saja akan menghilangkan identiti institusi pengajian tinggi itu tetapi latar belakang pengajian universiti yang jauh berbeza.

Yang Dipertua MPP UMT 2018/2019, Muhammad Hasyimi Hasyim Mohd Suddin, 22, berkata penggabungan itu akan menjejaskan hubungan baik dan kenalan UMT dengan banyak universiti di negara luar terutama China, Jepun dan negara Eropah.

“Penggabungan itu akan menghilangkan latar belakang bidang pengajian UMT yang lebih kepada penyelidikan dan program kelautan yang jarang didapati di universiti lain, berbeza dengan UniSZA yang lebih kepada program pengajian Islamik, perubatan dan pengurusan.

“Kami juga yakin apabila penggabungan ini dilakukan, nama UMT akan hilang kerana nama UniSZA memang tidak boleh diubah berikutan ia membabitkan perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Justeru mustahil penggabungan akan turut meletakkan nama UMT.

“UMT juga banyak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan universiti luar terutama di China, Jepun dan negara Eropah membabitkan pelbagai kerjasama dua universiti dan ia pasti akan terbantut dengan penggabungan UMT dan UniSZA,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Penuntut Sarjana Muda Sains (Kimia Analisis dan Persekitaran) UMT itu berkata, cadangan penggabungan itu tidak hanya akan memberi kesan kepada pelajar, tetapi juga warga universiti keseluruhannya terutama kakitangan pelbagai peringkat.

“Kakitangan dua universiti ini mungkin ada yang bakal kehilangan pekerjaan terutama yang berstatus kontrak. Apabila bergabung, kakitangan akan bertambah ramai, jadi adakah mereka akan kekalkan kakitangan yang ada, tentunya tidak dan pasti akan ada yang diberhentikan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, MPP UMT akan mengadakan ‘Himpunan Tolak Gabungan UMT-UniSZA’ di Dewan Sultan Mizan UMT, 5 petang esok, bagi menzahirkan bantahan secara aman terhadap cadangan penggabungan dua universiti itu.

Sementara itu, Presiden MPP UniSZA, Harun Osman, 24, berkata, penggabungan itu juga akan membantutkan misi dan visi dua universiti itu yang jelas berbeza sekali gus menjejaskan kebolehpasaran graduan UMT dan UniSZA.

“Penggabungan ini akan menjejaskan UMT dan UniSZA dalam mencapai misi dan visi kedua-dua universiti. Lebih menyedihkan bukan saja graduan akan berdepan masalah dalam sektor pekerjaan, tetapi juga kakitangan sokongan dan pekerja am kedua-dua universiti mungkin bakal kehilangan pekerjaan,” katanya.

Penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) UniSZA itu berkata, ketika ini UMT dan UniSZA masing-masing menerima anggaran RM200,000 setahun dan penggabungan itu akan menyebabkan dana diterima berkurangan, sekali gus merencatkan perkembangan kedua-dua universiti.

“Ini akan memberi kesan dan menganiaya kedua-dua universiti kerana UMT misalnya mempunyai kapal yang digunakan untuk penyelidikan dan memerlukan kos penyelenggaraan tinggi, begitu juga UniSZA yang mempunyai bangunan hospital,” katanya.

Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi hari ini dalam satu kenyataan menyebut, kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan UMT dan UniSZA dan persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada 4 September lalu.

Kenyataan itu juga menyebut, Kementerian Pendidikan amat positif dengan cadangan penggabungan itu dan kini sedang menyediakan kerangka bagi pelaksanaannya.

Sebuah jawatankuasa khas sedang dibentuk yang dianggotai oleh wakil daripada kalangan pegawai pentadbir, pensyarah, pelajar serta wakil daripada pelbagai agensi dan kementerian serta pihak berkepentingan bagi menggerakkan penggabungan ini yang dijangka mengambil masa enam bulan.

Berita berkaitan

UMT dan UniSZA bakal bergabung

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 6:55 PM