UMT dan UniSZA dicadangkan akan digabungkan.
UMT dan UniSZA dicadangkan akan digabungkan.
Nurul Fatihah Sulaini


KERAJAAN negeri menaruh harapan tinggi dengan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tidak akan mengabaikan kebajikan penuntut dan kakitangan dua universiti terbabit.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, apa juga keputusan yang dibuat diharap tidak akan mengorbankan generasi akan datang yang mahu melanjutkan pelajaran mereka.

“Kebanyakan pelajar adalah dari Pantai Timur. Walaupun kedua universiti ini bukan milik kerajaan negeri, kewujudannya mengembangkan ekonomi tempatan.

“Ini kali pertama dua universiti awam ingin digabungkan dan difahamkan proses penggabungan ini mengambil masa untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Terengganu 2019 di Dataran Pekan Jabi dekat Jertih hari ini.

Dr Ahmad Samsuri (dua kiri) ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Terengganu 2019. Foto Nurul Fatihah Sulaini
Dr Ahmad Samsuri (dua kiri) ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Terengganu 2019. Foto Nurul Fatihah Sulaini

Ketika diminta mengulas hasil pertemuan dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik di Putrajaya semalam, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri sudah menyuarakan pandangan mengenai cadangan penggabungan dua universiti itu.

“Kementerian membentuk satu jawantankuasa terdiri daripada wakil UMT dan UniSZA bagi mencari model serta kaedah sesuai yang mengambil masa untuk mengkaji langkah penggabungan itu.

“Jawatankuasa itu kelak akan bertemu dengan kerajaan negeri bagi memberi maklumbalas mengenai hasil keputusan yang sudah dicapai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, teknologi perlu dimanfaatkan secara optimum sebagai antara langkah untuk meningkatkan hasil pertanian khususnya di negeri ini.

“Contohnya teknologi ‘urban farming’ yang dilaksanakan di Tokyo, Jepun adalah tiga kali lebih efisyen berbanding kaedah ‘rural farming’, walaupun keadaan tanah tidak sesuai untuk pertanian ditukar kepada kaedah fertigasi.

“Terengganu adalah negeri kedua paling aktif selepas Pahang dalam membangunkan kawasan tanah terbiar untuk projek pertanian,” katanya.

Pada program itu, sebanyak 60 gerai jualan, 35 gerai pameran jabatan serta 15 trak makanan mengambil bahagian dalam karnival berlangsung selama empat hari sehingga Sabtu ini yang mensasarkan 50,000 pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 5:38 PM