GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


SEORANG lelaki cedera di betis kaki kanannya akibat dilibas dengan parang oleh rakannya yang berang dituduh mengajar anak saudara lelaki itu menghisap rokok.

Dalam kejadian di Kampung Telaga Batu, Mukim Putat, Jitra itu, mangsa berusia 21 tahun itu dikatakan diserang ketika melepak sambil bermain permainan aplikasi dalam talian, PUBG bersama rakannya, 10.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, ketika mereka bermain permainan itu, suspek berusia 21 tahun muncul dalam keadaan marah mempersoalkan tindakan mangsa menuduhnya mengajar anak saudara mangsa menghisap rokok sebelum ini.

Menurutnya, mangsa menafikan tuduhan berkenaan menyebabkan suspek berang dan terus masuk ke dalam rumahnya lalu mengambil parang dan menyerang mangsa.

“Mangsa cuba mengelak, namun gagal apabila betis kaki kanan terkena parang yang dilibas suspek.

“Mangsa bernasib baik berjaya melarikan diri ke arah belakang rumah suspek itu dan terus membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ismail berkata, suspek ditahan 12.30 tengah malam tadi di Kampung Putat, Mukim Putat, Jitra.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai pesawah itu direman sehingga 12 September ini untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 12:30 PM