LOKASI kejadian mangsa ditetak sehingga putus tangan. FOTO ihsan polis
LOKASI kejadian mangsa ditetak sehingga putus tangan. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


ANGKARA dendam, lelaki warga Thailand putus tangan kanan manakala tangan kiri, leher, betis dan belakang kepala cedera selepas diserang tiga lelaki di rumahnya di Kampung Changkat Setoi, Changlun, semalam.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, penoreh getah berusia 36 tahun bersama isteri berumur 33 tahun dan anak lelaki berusia lapan serta 13 tahun diserang suspek dipercayai tidak berpuas hati berkaitan isu mengubah suai motosikal menjadi lebih laju.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, isteri mangsa memberitahu empat lelaki datang dengan motosikal sebelum tiga suspek memecah masuk ke dalam rumah dan terus menyerang mangsa.

Menurutnya, mangsa berlari keluar menyelamatkan diri dan ditetak suspek dengan parang sehingga putus tangan kanan sebelum suspek membawa lari tangan itu.

“Isteri mangsa bersama anak-anaknya pula berlari ke kawasan kebun getah untuk menyelamatkan diri.

“Isterinya turut cuba ditetak namun sempat menahan menyebabkan luka pada tangan kiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Ismail berkata, seorang lelaki dipercayai suspek pernah datang beberapa kali ke rumah mereka kerana tidak berpuas hati mangsa tidak menolongnya mengubah suai motosikal supaya menjadi lebih laju.

“Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan dan dilaporkan stabil.

“Siasatan mendapati tiga suspek memakai baju sejuk warna hitam dan topeng muka menyerang mangsa,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu, polis menahan seorang suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 3:36 PM