RAKAMAN CCTV menunjukkan dua lelaki memecah dan mencuri duit tabung masjid. FOTO Ihsan Pembaca
RAKAMAN CCTV menunjukkan dua lelaki memecah dan mencuri duit tabung masjid. FOTO Ihsan Pembaca
Nur Saliawati Salberi


DUA lelaki yang dipercayai memecah dan mencuri duit tabung masjid dicekup polis tidak sampai 24 jam selepas kedua-dua mereka melakukan jenayah itu, petang semalam.

Kedua-dua lelaki berkenaan ditahan dalam dua tangkapan berasingan di Jalan Saujana Permai, Ayer Keroh dan Taman Bukit Katil di Melaka, antara 5.30 hingga 6.35 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, penahanan kedua-dua suspek itu dibuat selepas disyaki mereka terbabit dalam kejadian pecah tabung masjid di Masjid Al Hakim, Kampung Pengkalan Renggam, Kandang, awal pagi semalam.

Katanya, kedua-dua suspek dipercayai melarikan duit tabung berkenaan yang dianggarkan kira-kira RM1,700.

“Bertindak atas maklumat, pasukan polis ke Jalan Saujana Permai dan menahan seorang lelaki berusia 26 tahun, pada 5.30 petang.

“Hasil soal siasat terhadap suspek itu membawa kepada tangkapan suspek kedua berusia 27 tahun pada 6.35 petang di Taman Bukit Katil,” katanya ketika dihubungi.

Raiz Mukhliz berkata, hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati kedua- dua suspek positif methamphetamine.

“Semakan lanjut dilakukan juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

“Turut dirampas bersama suspek adalah motosikal Yamaha Avantis, spana dan besi yang dipercayai digunakan suspek dalam melakukan jenayah itu,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 3:33 PM