Warga asing direman selepas memukul rakan menggunakan kayu hingga parah. FOTO Alias Abd Rani
Warga asing direman selepas memukul rakan menggunakan kayu hingga parah. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Muar: Berang selepas kerap ditanya hutang belum dijelaskan, seorang pembantu kedai runcit warga Myanmar menerima lapan jahitan di kepala dipukul rakan senegara menggunakan kayu dalam kejadian di Jalan Ayer Manis, Bakri di sini, kelmarin.

Kejadian jam 11.40 malam itu turut menyebabkan lelaki berusia 36 tahun itu mengalami luka di lengan kiri dan paha.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kejadian berlaku ketika mangsa sedang bekerja di kedai runcit terbabit sebelum didatangi dua lelaki dikenali mangsa untuk membeli barang secara hutang namun mereka tidak membawa buku catatan.

"Mangsa meminta kedua-dua lelaki itu pulang mengambil buku catatan kerana urusan pembelian secara hutang perlu direkodkan dalam buku terbabit.

"Tidak lama kemudian, dua pelanggan itu datang semula bersama suspek sebelum suspek yang bekerja operator kilang itu tiba-tiba mengambil kayu lalu memukul kepada mangsa hingga berdarah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Raiz Mukhliz berkata, susulan kejadian itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Bakri pada jam 3.13 pagi keesokan hari dan bertindak atas maklumat, lelaki berusia 26 tahun berjaya ditahan di asrama penginapannya di Parit Jawa di sini, pada hari sama.

"Siasatan awal mendapati suspek juga sudah lama berdendam dengan mangsa kerana kerap bertanya hutang yang belum dijelaskan," katanya.

Suspek direman sehingga esok dengan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 4:12 PM