Nor Amalina Alias


MAYAT lelaki dengan kesan terbakar ditemui dalam anak sungai berdekatan jambatan Kampung Puyu, Jalan Semerak, Pasir Puteh, hari ini.

Mayat itu ditemui terapung oleh penduduk kampung pada 3 petang dan dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari berdasarkan keadaan mayat sudah membengkak.

Difahamkan mayat berkenaan mempunyai kesan terbakar terutama di bahagian wajah dan ditemui hanya berseluar pendek tanpa baju.

Mayat dipercayai berusia 20-an dan setakat ini identitinya belum dikenal pasti dan dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat.

Penduduk kampung, Mohamad Zainun Hassan, 60, berkata, laluan anak sungai di lokasi berkenaan agak sunyi kerana berdekatan ladang kelapa sawit.

“Setakat ini saya tidak mendengar sebarang kehilangan penduduk kampung dan ini kali pertama mayat ditemui di kampung ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Bagaimanapun, katanya, maklumat lanjut akan diberikan selepas selesai urusan bedah siasat ke atas mayat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 8:32 PM
ANGGOTA polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengangkat mayat lelaki dengan kesan terbakar yang ditemui terapung di dalam anak sungai Kampung Puyu, Jalan Semerak, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias.
ANGGOTA polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengangkat mayat lelaki dengan kesan terbakar yang ditemui terapung di dalam anak sungai Kampung Puyu, Jalan Semerak, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias.