Timbunan guni berisi daun ketum yang ditemui anggota PGA Batalion 1 Ulu Kinta, Perak ketika melakukan rondaan di sekitar kawasan Ops Wawasan Kedah/Perlis di FELDA Mata Ayer, Padang Besar, Foto Ihsan PGA
Timbunan guni berisi daun ketum yang ditemui anggota PGA Batalion 1 Ulu Kinta, Perak ketika melakukan rondaan di sekitar kawasan Ops Wawasan Kedah/Perlis di FELDA Mata Ayer, Padang Besar, Foto Ihsan PGA
Zuliaty Zulkiffli


LADANG getah FELDA Mata Ayer, Padang Besar dikesan menjadi lokasi transit penyeludupan daun ketum ke Thailand.

Kegiatan itu terbongkar hasil risikan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 Ulu Kinta, Perak yang mengawal di kawasan terbabit.

Sebanyak 34 guni daun ketum ditemui di kawasan itu menerusi Op Wawasan Kedah/Perlis pada 12 tengah malam tadi.

Pegawai Pemerintah Medan Martak Batalion 1 PGA Bukit Kayu Hitam Superintendan Abd Aziz Abdullah berkata, sebelum itu anggotanya terserempak dengan sekumpulan lelaki yang sedang berjalan di kawasan ladang itu.

Menurutnya, kumpulan terbabit melarikan diri ke hutan berhampiran selepas menyedari kejadiran pasukan PGA di kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut, anggotanya menemui guni putih berisi daun ketum seberat 1,020 kilogram yang dianggarkan bernilai RM153,000.

“Berikutan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk memaklumkan mengenai rampasan daun ketum berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 9:20 PM