SEBAHAGIAN daripada 1,200 peserta Malaysia Surfcasting Tour di Pantai Puteri, Tanjung Kling.
SEBAHAGIAN daripada 1,200 peserta Malaysia Surfcasting Tour di Pantai Puteri, Tanjung Kling.
Hassan Omar

DOA seorang pemancing yang mahu membina rumah impian dimakbulkan apabila memperoleh RM70,000 selepas muncul johan pertandingan memancing Malaysia Surfcasting Tour di Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini, semalam.

Mohd Faizul Mohd Ali, 37, amat teruja apabila diumumkan sebagai johan berikutan kejayaannya menaikkan ikan daun baru seberat 945 gram, sekali gus mengatasi kira-kira 1,200 peserta lain.

Katanya, ketika menarik tali pancing pada jam 10.35 pagi, hatinya berdebar kerana berasa tangkapannya agak berat menyebabkan dia berdoa agar ikan berkenaan tidak terlepas daripada mata kail.

“Dua tiga hari sebelum ini saya banyak berdoa agar Allah memilih saya untuk menang kerana saya sudah lama menyimpan hasrat untuk membina rumah.

“Sekarang saya menyewa rumah di Taman Merah Jaya dan menabung sedikit demi sedikit hasil titik peluh sebagai pemandu peribadi untuk membina rumah sendiri dan Alhamdulillah hari ini (semalam), doa saya dimakbulkan Allah,” katanya ketika ditemui selepas menerima hadiah berkenaan.

MOHD FAIZUL (tengah) berkongsi kegembiraan muncul johan Malaysia Surfcasting Tour dengan membawa pulang RM70,000 di Pantai Puteri, Tanjung Kling.
MOHD FAIZUL (tengah) berkongsi kegembiraan muncul johan Malaysia Surfcasting Tour dengan membawa pulang RM70,000 di Pantai Puteri, Tanjung Kling.

Hadiah disampaikan Pengarah Kanan (Bahagian Acara dan Domestik) Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Datuk Dr Ammar Abdul Ghapar.

Naib johan peserta dari Johor, Mohd Abdul Salam Ismail, 54, yang membawa pulang RM12,000 selepas menaikkan ikan daun baru seberat 885 gram manakala tempat ketiga dimenangi Airuddin Ismail, 53, dari Seremban dengan menerima RM5,000 selepas mendaratkan ikan kurau seberat 815 gram.

Program itu dijadualkan diadakan di 10 lokasi di seluruh Semenanjung dan bakal berakhir di Tasik Putrajaya pada hujung Disember depan dengan menawarkan hadiah utama sebuah kereta Perodua Myvi bagi pemancing yang mengumpulkan mata tertinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 8:30 AM