SEORANG pesakit lumpuh separuh badan melakukan proses pemulihan menggunakan sut HAL di PRPTAR, Mei lalu. FOTO Arkib NSTP.
SEORANG pesakit lumpuh separuh badan melakukan proses pemulihan menggunakan sut HAL di PRPTAR, Mei lalu. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) mencipta sejarah, hari ini apabila menjadi universiti pertama di Malaysia menerima teknologi sut robotik Hybrid Assistive Limb (HAL) hasil ciptaan Cyberdyne Inc dari Jepun.

Ini berikutan perjanjian persefahaman (MoU) antara USM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang satu-satunya organisasi dalam negara menggunakan sut robotik HAL.

Ia digunakan dalam program rehabilitasi perubatan berteknologi tinggi di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak (PRPTAR) di Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Muhammad Azman Aziz Muhammad berkata, PRPTAR menggunakan teknologi HAL bagi merawat pekerja diinsuranskan Perkeso yang mengalami kekurangan daya fizikal ataupun kehilangan upaya akibat kecederaan atau gangguan dalam sistem saraf pusat mereka.

“Perkeso telah menghantar 12 anggota PRPTAR ke Jepun untuk menjalani latihan menggunakan teknologi ini sebelum mereka ditempatkan di HUSM (Hospital USM di Kubang Kerian) untuk melatih pula pegawai perubatan di sana.

“Kita akan mula menempatkan enam unit HAL dan bilangan itu akan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU di Georgetown, hari ini.

Menurut Dr Muhammad Azman, sut robotik HAL menggunakan teknologi cybernics dan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan isyarat bioelektrik dari otak pesakit dan seterusnya membantu pesakit itu bergerak berdasarkan isyarat yang diterima.

Sut itu juga membekalkan penambahbaikan dan fungsi regenerasi untuk pesakit yang mengalami gangguan saraf dan berdasarkan rekod, pesakit yang dirawat dengan teknologi itu terbukti dapat membantu mereka pulih dengan lebih cepat berbanding kaedah rawatan lain.

Beliau berkata, Perkeso kini sedang merancang untuk membuka peluang rawatan menggunakan teknologi itu kepada masyarakat awam dan tidak hanya khusus untuk pencarumnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Jualan Bahagian Asia Pasifik Cyberdine Inc, Ikuo Kudo berkata, sut itu telah digunakan secara meluas di Jepun sejak 2011 dan kini, 1,100 unit digunakan secara aktif di pusat rehabilitasi, kompleks beli-belah, kedai serbaguna, bangunan awam dan sebagainya di negara itu.

Dalam pada itu, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Asma Ismail berkata, pengenalan rawatan sut robotik dapat menjadi satu lagi tarikan di bawah sektor pelancongan perubatan khususnya di HUSM yang terletak dalam kawasan koridor Pantai Timur.

Katanya, Perkeso dan USM juga sedang merangka pelan untuk membawa teknologi itu ke Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM di Bertam, Pulau Pinang, bagi membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 5:32 PM