Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Tiga lot kedai di Terminal Bas Lembah Sireh Kota Bharu rosak selepas dirempuh bas ekspres, malam tadi.

Dalam kejadian 7.30 malam itu hanya seorang peniaga cedera ringan di tangan kiri.

Pemilik kedai, Mohd Zuhaini Abdullah, 38, berkata, ketika kejadian dia berada di kaunter kedainya.

Katanya, dia melihat pemandu bas mahu membetulkan kedudukan bas sementara menunggu penumpang naik untuk ke Johor pada 8 malam .

"Pada mulanya bas itu bergerak perlahan sebelum secara tiba-tiba meluncur laju masuk ke dalam kedai.

"Saya hanya mampu mengucap melihat bas hanya berada kira-kira satu meter di depan saya sebelum tiba-tiba berhenti.

"Anggaran kerugian lebih RM80,000 selepas struktur kedai dan beberapa barang keperluan sepeti peti sejuk rosak teruk," katanya

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Mohd Ardi Azfar, 27, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam kedai bersama anaknya berusia tiga tahun.

"Bas itu bergerak sedikit ke depan sebelum tiba-tiba terus merempuh masuk ke dalam kedai.

"Saya terus bergegas mengambil anak dan lari keluar dari kedai," katanya yang kerugian lebih RM800.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 12:53 AM
TIGA lot kedai dirempuh  bas ekspres. FOTO Syamsi Suhaimi
TIGA lot kedai dirempuh bas ekspres. FOTO Syamsi Suhaimi