CIAPAN Dr Wan Azizah mengenai kematian Nora Anne.
CIAPAN Dr Wan Azizah mengenai kematian Nora Anne.
Idris Musa


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan rasa sedih beliau dengan kematian remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15.

“Saya berasa sangat sedih dengan kematian Nora Anne dan saya menyampaikan takziah kepada keluarganya. Saya mendoakan mereka diberikan kekuatan untuk melalui tempoh sukar ini.

“Kita percaya polis akan melakukan yang terbaik bagi membongkar kematian tragis ini,” ciap beliau melalui akaun Twitter, hari ini.

Nora Anne yang dilaporkan mengalami masalah pembelajaran tiba bersama keluarganya pada 3 Ogos lalu untuk percutian dua minggu di negara ini.

Bagaimanapun, dia disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai, Nilai, Negeri Sembilan, oleh keluarganya jam 8 pagi, 4 Ogos.

Berikutan itu, pencarian dilakukan dan semalam, mayat perempuan ditemui kira-kira dua kilometer dari resort penginapan Nora Anne dan keluarganya.

Keluarga Nora Anne yang membuat pengecaman di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban mengesahkan mayat ditemui jam 1.57 tengah hari adalah ahli keluarga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 7:10 PM