NORA Anne. FOTO arkib NSTP
NORA Anne. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


MAYAT remaja Ireland, Nora Anne Quoirin yang masih berada di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) dijangka dapat dituntut keluarga pada Ahad ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, keluarga mangsa bersama pihak kedutaan sedang menyediakan dokumentasi untuk membawa pulang mayat remaja itu.

“Proses dokumentasi itu akan mengambil masa untuk dilengkapkan, paling cepat pun esok atau Ahad. Saya tidak rasa hari ini sempat (tuntut mayat).

“Polis dah tiada apa-apa lagi (untuk tahan) sebab kami dah bagi kebenaran untuk mayat dituntut pada bila-bila masa saja cumanya proses dokumentasi daripada kedutaan saja (ambil masa),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Mohamad menafikan laporan media antarabangsa yang memetik namanya memaklumkan mayat Nora Anne sudah dituntut keluarga, hari ini.

Katanya, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu kepada mana-mana media sebelum ini.

Semalam, Mohamad dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan memberitahu tiada halangan untuk keluarga Nora Anne menuntut mayat remaja itu pada bila-bila masa.

Keputusan bedah siasat Nora Anne mendapati punca kematian disebabkan kebocoran usus akibat tidak makan dalam tempoh panjang dan tekanan.

Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh dua ke tiga hari sebelum mayatnya ditemui pada 1.57 tengah hari, 13 Ogos lalu.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 6:45 PM