Laporan portal Harian Metro mengenai kemalangan maut babitkan pemandu wanita warga Malaysia di  Lebuhraya Asia di Khuhatai, Rattaphum dekat Songkhla.
Laporan portal Harian Metro mengenai kemalangan maut babitkan pemandu wanita warga Malaysia di Lebuhraya Asia di Khuhatai, Rattaphum dekat Songkhla.
BERNAMA

PEMANDU Malaysia yang terbabit dalam kemalangan jalan raya hingga mengorbankan lima orang pemotong rumput di Lebuhraya Asia di Khuhatai, Rattaphum dekat Songkhla didapati memandu tanpa lesen yang sah.

Wanita berusia 30 tahun itu didakwa memandu dengan cuai menyebabkan kematian dan kerosakan harta awam.

Pemandu itu menghadapi hukuman penjara 10 tahun dan denda tidak lebih 20,000 baht (RM2,721), jika sabit kesalahan.

Polis Thailand bersetuju mengurangkan ikat jamin daripada 500,000 baht (RM68,000) kepada 200,000 (RM27,000).

Bagaimanapun, wanita itu dilarang meninggalkan negara itu sehingga kesnya selesai.

Di samping itu, wanita berkenaan perlu membayar sagu hati wang tunai 50,000 baht (RM6,764) masing-masing kepada keluarga mangsa berjumlah 250,000 baht (RM33,823).

Dia juga dikenakan denda 200 baht (RM28) kerana memandu tanpa lesen sah.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel berkata, kedutaan akan memantau kes itu dari dekat.

“Kedutaan akan memberi bantuan sewajarnya yang diperlukan,” katanya kepada Bernama.

Kelmarin, wanita itu dan dua lagi warga Malaysia sedang dalam perjalanan dari Krabi ke Hatyai, Songkhla sebelum kereta mereka naiki melanggar lima pemotong rumput yang sedang berehat di tepi lebuh raya berkenaan.

Berita berkaitan:

  • 5 maut dirempuh wanita Malaysia di Songkhla
  • Pegawai kedutaan ke lokasi
  • 'Masih tak tahu situasi anak'
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 12:53 PM