LAPORAN portal berita Harian Metro
LAPORAN portal berita Harian Metro
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KEMENTERIAN Luar akan memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan lima lelaki maut di Lebuhraya Asia di Khuhatai, Rattaphum dekat Songkhla, Thailand, 13 Ogos lalu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, setakat ini pihaknya menerusi Kedutaan Malaysia di Songkhla sedang mengumpul maklumat lanjut berhubung kejadian menimpa wanita berusia 31 tahun bersama dua lagi rakannya.

Menurutnya, kerajaan menerusi Malawakil di Songkhla akan memantau perkembangan siasatan, seterusnya memberi bantuan sewajarnya.

“Kementerian Luar ada wakil yang akan pantau dan beri bantuan kepada individu yang terbabit dari segi fasiliti termasuk mendapatkan peguam untuk proses perundangan di negara berkenaan (Thailand),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-17 di Bangi, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan lima pemotong rumput maut manakala seorang lagi parah apabila dirempuh Perodua Myvi dipandu wanita rakyat Malaysia.

Dalam kejadian jam 3 petang, pemandu dari Kelantan bersama dua penumpang wanita juga rakyat Malaysia dalam perjalanan dari Krabi menuju ke Hat Yai.

Empat mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi disahkan maut ketika menerima rawatan di hospital.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, kesedaran rakyat negara ini untuk membeli insurans ketika melancong ke luar negara masih rendah sehingga menyukarkan urusan tuntutan serta bayaran sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

“Rakyat Malaysia perlu sedar kepentingan insurans terutama jika bercuti di luar negara khususnya di tempat berisiko selain melakukan aktiviti mencabar.

“Kementerian Luar sememangnya akan memberi bantuan jika berlaku sebarang masalah, namun kita tidak mempunyai dana khusus terutamanya jika membabitkan kos guaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 11:12 PM