RAKAMAN kemalangan yang tular di laman sosial. FOTO ihsan pembaca
RAKAMAN kemalangan yang tular di laman sosial. FOTO ihsan pembaca
Mohd Hafizee Mohd Arop


MASALAH brek dipercayai menjadi punca bas ekspres merempuh beberapa kenderaan ketika menuruni laluan berbukit di Kilometer 305.4 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, dekat Kampar, Ipoh, semalam.

Dalam kejadian 2.20 petang itu, pemandu sebuah kenderaan dirempuh bas itu mengalami kecederaan sebelum dibawa ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Siasatan/Sumber) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, pihak peronda menerima maklumat kejadian sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah bas yang membawa 30 penumpang yang dipercayai gagal dikawal akibat masalah brek dan merempuh beberapa kenderaan di hadapannya.

“Peronda mendapati bas berkenaan merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dan tiga kereta, hanya seorang pemandu sebuah kereta cedera sebelum dibawa ke Hospital Tapah.

“Kemalangan itu turut mengakibatkan kesesakan hampir lapan kilometer dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, video serta gambar yang dirakam menggunakan ‘dashcam’ seorang pemilik Facebook (FB) tular menunjukkan situasi bas berkenaan merempuh beberapa kenderaan di hadapannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 7:15 PM