BOM ditemuinya seorang pengait kelapa sawit di Kampung Batu 7, Jalan Changkat Jong. FOTO RAVALE SAVARINATHAN
BOM ditemuinya seorang pengait kelapa sawit di Kampung Batu 7, Jalan Changkat Jong. FOTO RAVALE SAVARINATHAN
Ravale Savarinathan


HASRAT seorang pengait kelapa sawit memperoleh pendapatan sampingan dengan menjual besi buruk ditemuinya dalam ladang kelapa sawit tidak kesampaian apabila mendapati ‘besi’ itu sebenarnya adalah bom peninggalan Perang Dunia Kedua.

Bom itu dikenal pasti pemilik premis menjual besi buruk di Kampung Batu 7, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, ketika didatangi lelaki berkenaan di rumahnya kira-kira jam 4.30 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, seorang lelaki tidak dikenali dipercayai mahu menjual besi kepada pengadu yang kemudian mendapati ia menyerupai bom.

“Pengadu bertanya kepada lelaki berkenaan di mana menjumpai barang itu, namun dia tidak ingat sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Marzukhi berkata, siasatan dijalankan kemudian mendapati ia adalah bom lama yang dijumpai di atas timbunan tanah di tepi jalan Jalan Changkat Jong dalam keadaan berkarat.

Katanya, berikutan itu, polis menjalankan tindakan memusnahkan bom dalam keadaan terkawal dan selamat tanpa sebarang kerosakan harta benda atau kecederaan jam 7.10 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 6:10 PM