RUZILAN menunjukkan gambar isterinya, Jashiah. FOTO Amrullah Abdul Karim
RUZILAN menunjukkan gambar isterinya, Jashiah. FOTO Amrullah Abdul Karim
Md Fuzi Abd Lateh


KAMI rindu masakan rendang daging ibu setiap kali tibanya hari raya. Namun semuanya tinggal kenangan,” kata Farah Izwani, 20 anak bongsu kepada bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Keramat Satu, Jashiah Rabu, 57 yang hilang dari rumah mereka pada petang Jumaat, 23 Oktober 2015 lalu.

Menurutnya, misteri kehilangan ibu tercinta masih menjadi tanda tanya, namun mereka reda dengan ketentuan takdir.

Katanya, Aidiladha kali ini tetap suram tanpa ibu tersayang.

“Sudah lebih empat tahun kami menyambut hari raya tanpa ibu, ia sungguh menyayat hati kami sekeluarga.

“Kami sambut hari raya dengan suasana biasa apabila empat ahli keluarga lain berkumpul bersama ayah Ruzilan Omar, 57, di rumah sendiri,” katanya.

Dia yang juga pelajar tahun akhir Diploma Ukur Bangunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak bersama dua abangnya, Mohamad Saizul Izwan, 27, dan Mohd Irfan, 22 serta kakaknya, Nur Syahizah Izwani, 25, menyambut hari raya di Taman Seri Seruling di sini bersama ayah mereka.

LAPORAN Harian Metro 28 Oktober 2015.
LAPORAN Harian Metro 28 Oktober 2015.

Harian Metro ada melaporkan kisah kehilangan ibunya, yang dikatakan keluar dari rumah mereka dengan menghala ke Hutan Simpan Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu kira-kira 10 kilometer dari situ.

Jashiah dilaporkan berjalan kaki dan menumpang kereta kawannya untuk ke lokasi berkenaan bersendirian.

Dia juga ditemui sehari kemudian di Perkampungan Orang Asli Buloh Telor di Kuala Kubu Bharu.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disertai anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Veteran Komando Malaysia, Rela dan penduduk Kampung Orang Asli Buloh Telor, Kuala Kubu Bharu ditangguhkan pada 10 November 2015 lalu apabila gagal menemui sebarang petunjuk positif.

Farah berkata, ayahnya yang sering mengalami sakit sendi kaki kini tinggal bersama abang sulungnya, Mohamad Saizul Izwan yang bekerja sendiri di Selayang, Selangor.

JASHIAH Rabu
JASHIAH Rabu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 4:30 AM