PERABOT lama yang dicat merah dijadikan rak kasut di bawahnya berjaya menjadi titik fokal. FOTO Kerol Izwan
PERABOT lama yang dicat merah dijadikan rak kasut di bawahnya berjaya menjadi titik fokal. FOTO Kerol Izwan
Hafiz Ithnin

PENGALAMAN mengembara lebih 30 negara memberi ilham kepada jejaka ini untuk mengadunkan antara seni dan kebebasan di dalam ‘syurga’ kecil miliknya itu.

Tidak dinafikan, penggabungan dua elemen itu bukan sesuatu yang mudah untuk diterjemahkan di dalam sebuah kediaman. Apatah lagi, jika pemiliknya tidak mempunyai pengalaman profesional di dalam bidang rekaan dalaman.

Ternyata pengembaraan Kerol Izwan ke pelbagai negara asing banyak mencetuskan inspirasi dan idea untuk menzahirkan konsep pertembungan antara ruang dan Bohemian dalam menghias kediaman miliknya sejak tiga tahun lalu.

GANDINGAN tumbuhan dan elemen hiasan beri ketenangan pada bilik tidur. FOTO Kerol Izwan
GANDINGAN tumbuhan dan elemen hiasan beri ketenangan pada bilik tidur. FOTO Kerol Izwan

Dinding mega di setiap ruang berlatarkan kanvas putih dan juga tidak mempedulikan penggunaan tirai atau langsir yang sinonim dengan konsep privasi sememangnya berjaya menghasilkan erti kebebasan di dalam kediamannya.

Kerol berkata, elemen perabot yang mempunyai ton warna menonjol dengan reka bentuk berkonsepkan Bohemian sengaja dipilih bukan saja untuk menonjolkan perbezaan warna malah membantu menceriakan persekitaran dalam kediaman dua tingkat itu.

“Memandangkan saya bekerja secara bebas, kediaman menjadi lokasi penting untuk berehat dan berkumpul bersama teman. Jadi, paling utama memberi keselesaan untuk bekerja.

“Disebabkan itu, konsep ruang yang dapat mencerminkan kebebasan amat penting kepada saya terutama bagi mendapatkan idea ketika bekerja,” katanya.

ATURAN lampu siling sesuai dengan konsep yang diinginkan. FOTO Kerol Izwan
ATURAN lampu siling sesuai dengan konsep yang diinginkan. FOTO Kerol Izwan

Kediamannya di Nilai, Negeri Sembilan itu berkeluasan 1,400 kaki persegi mempunyai empat bilik tidur dan tiga bilik air dengan dua ruang tamu iaitu masing-masing di tingkat atas serta bawah.

Katanya, dia tidak menggunakan khidmat jururunding hiasan dalaman untuk menata hias kediaman kerana mempercayai bakat dan sentuhannya mampu memberikan kepuasan tersendiri.

“Saya tidak banyak melakukan kerja pengubahsuaian kerana sudah berpuas hati dengan reka bentuk dalaman sedia ada. Hanya di bahagian dapur saya tambah kabinet.

“Memandangkan gemar pencahayaan pada waktu pagi, saya memilih tidak memasang tirai atau langsir kerana ia juga mampu memberikan kesan menonjolkan ruang kediaman yang lebih luas. Jika di luar negara konsep seperti ini sudah lama diterapkan termasuk tidak memasang jeriji,” katanya.

BERMAIN elemen alam semula jadi dan warna dengan bijak mampu menghasilkan keunikan kediaman. FOTO Kerol Izwan
BERMAIN elemen alam semula jadi dan warna dengan bijak mampu menghasilkan keunikan kediaman. FOTO Kerol Izwan

Melihat kepada foto yang dimuat naik Kerol di Instagram, ternyata anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga bijak menyusun letak barangan terpakai sebagai perabot yang mampu menonjolkan keunikan tersendiri.

“Meja makan ini sebenarnya adalah pintu kayu yang agak berat dan selepas membaiki serta mengecatnya dengan warna putih lalu dipadankan dengan hamparan permaidani bercorak geometri, ternyata gabungan ini menjadi.

“Saya juga melihat perabot lama yang kelihatan usang sebenarnya mempunyai nilai estetika tersendiri jika kita bijak memperbaiki, mengenakan warna yang sesuai dengan gabungan ton kediaman dan meletakkan di kawasan yang mampu menonjolkan fungsinya,” katanya.

Meluangkan masa bersantai di rumah, diisi dengan aktiviti membaca sudah menjadi perkara biasa kepada jejaka berusia 33 tahun ini kerana baginya membaca menjadi salah satu pentas untuk dia mendapatkan ilham ketika bekerja dan juga menata hias kediaman.

TUMBUHAN hiasan dan perabot moden berlatar belakang dinding putih menonjolkan ilham menghias kediaman. FOTO Kerol Izwan
TUMBUHAN hiasan dan perabot moden berlatar belakang dinding putih menonjolkan ilham menghias kediaman. FOTO Kerol Izwan

Memandangkan dia mempunyai koleksi bacaan yang banyak, Kerol juga bijak menyusun atur naskhah ilmu itu menjadi sebahagian daripada elemen hiasan kediamannya.

“Memandangkan di rumah ini terdapat banyak perabot guna semula, saya mencari ruang yang sesuai untuk meletakkannya dan mendapat maklum balas positif daripada tetamu yang suka dengan gaya begini. Ia memberi kelainan dalam hiasan ruang,” katanya.

Melihat kepada alam semula jadi mampu memberi kesan yang baik kepada ‘emosi’ kediaman, Kerol juga bijak bermain susun atur pokok hiasan di dalam rumahnya.

TINGKAP yang tidak bertirai memberi maksud kebebasan. FOTO Kerol Izwan
TINGKAP yang tidak bertirai memberi maksud kebebasan. FOTO Kerol Izwan

Katanya, warna hijau segar tumbuhan juga menonjolkan kepelbagaian rona di dalam kediamannya supaya tidak didominasi warna perabot yang lebih gelap.

“Setiap bahagian seperti ruang tamu dan bilik saya letakkan tumbuhan hiasan yang sesuai hidup di dalam rumah.

“Bagi saya dengan adanya unsur alam di dalam kediaman ia memberi kesan yang baik yang bukan saja dapat mempelbagaikan warna malah mampu memberi ketenangan,” katanya.

RUANG makan menempatkan meja kayu yang dijadikan meja santapan. FOFOTO Kerol Izwan
RUANG makan menempatkan meja kayu yang dijadikan meja santapan. FOFOTO Kerol Izwan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 11:16 AM