ANTARA produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual atau merkuri.
ANTARA produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual atau merkuri.
Noor Atiqah Sulaiman


ORANG ramai dinasihatkan menghentikan penggunaan dan pembelian tujuh produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata notifikasi produk berkenaan sudah dibatalkan dan tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.

“Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM ingin menggesa orang ramai mengelak membeli dan menggunakan produk kosmetik ini.

“Penjual dan pengedar produk kosmetik perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk ini dalam kadar segera.

“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan berikutnya, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.

Bahan berkenaan boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang serta sistem saraf.

“Selain itu, bahan berkenaan juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak kecil atau belum dilahirkan. Ia juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.

Orang awam yang masih menggunakan produk kosmetik itu dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan.

7 produk disahkan beracun:

1. Dnars Golden Cream

2. Fjura-Face Polish Treatment

3. Glow Glowing N Glowing

4. Apple Diamond Day Loose

5. 3rd Series Yanko Fade Out Cream Day Cream

6. 5th Series Yanko Fade Out Cream Day Cream

7. 7th Yanko Series Whitening Cream Day

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 12:23 PM