TIGA produk kosmetik yang didapati mengandungi logam merkuri. FOTO KP Kesihatan
TIGA produk kosmetik yang didapati mengandungi logam merkuri. FOTO KP Kesihatan
Rafidah Mat Ruzki


ORANG awam dinasihatkan untuk tidak membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik selepas ia didapati mengandungi logam merkuri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, tiga produk berkenaan adalah Glow Skin White - Brightening Cream; Glow Skin White - Sun Care dan Rzac Beauty Creme 2.

Kenyataan yang dimuat naik melalui laman web kpkesihatan.com itu mengatakan notifikasi produk-produk kosmetik itu telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, berikutan itu, produk-produk kosmetik terbabit tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

"Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik berikut kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

"Merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

"Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit," katanya.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik itu perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta.

Beliau berkata, penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya, individu yang melakukan kesalahan bawah peruntukan undang-undang itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

"Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

"Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi 'NPRA Product Status' yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 1:49 PM