JAAFAR Hashim meninjaun kebun timunnya yang terjejas akibat kebakaran kawasan hutan Jabatan Pertanian Inderapura sejak Jumaat lalu. FOTO Mohd Rafi Mamat.
JAAFAR Hashim meninjaun kebun timunnya yang terjejas akibat kebakaran kawasan hutan Jabatan Pertanian Inderapura sejak Jumaat lalu. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Kebakaran hutan tanah gambut seluas 30 hektar di kawasan Jabatan Pertanian Inderapura, di sini turut memusnahkan kebun sayur projek Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Beberapa pekebun rugi besar apabila polibeg dan para kayu bagi tanaman kaedah fertigasi runtuh dalam kebakaran itu.

Pekebun Jaafar Hashim, 62 berkata, dia rugi lebih RM20,000 selepas tiang penyokong para kayu bagi tanaman timun mininya terbakar sebelum runtuh pada hari pertama kebakaran, Jumaat lalu.

"Saya tidak dapat memadamkan api ketika kejadian kerana angin kuat dan asap tebal.

"Ini pertama kali kebakaran besar berlaku selepas 22 tahun saya mengusahakan tanaman sayur secara fertigasi di sini.

"Kami hanya mampu melihat api merebak dengan cepat memusnah kawasan hutan seterusnya merebak ke dalam petak kebun," katanya di sini, semalam.

Pengerusi persatuan pekebun itu, Khairul Azhan Zainal Abidin, 52, dia kerugian lebih RM100,000 selepas tiga petak kebun musnah sepenuhnya, manakala dua kawasan lagi dapat diselamatkan.

Menurutnya, sebelum kebakaran itu, dia melakukan kerja meracun rumpai yang mungkin mendorong api merebak cepat dan sukar dikawal.

"Tali pengikat polibeg tanaman putus dalam kebakaran itu dan saya tidak mampu berbuat apa-apa.

"Saya hanya mampu berserah apabila satu persatu polibeg timun menyembah bumi. Ramadan ini begitu menguji kami, pekebun di TKPM Inderapura," katanya yang sudah lebih 12 tahun menjadi pekebun.

Menurutnya, TKPM Inderapura berkeluasan lebih 40 hektar yang diusahakan 21 peserta, dan 70 ke 80 peratus daripadanya terjejas dalam kebakaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 11:59 AM