ANTARA gelandangan yang baru pulang kerja di bawah BORR. FOTO Amir Irsyad Omar
ANTARA gelandangan yang baru pulang kerja di bawah BORR. FOTO Amir Irsyad Omar
Shamsul Munir Safini

Butterworth: “Keluarga tak tahu keadaan saya, saya tak mahu menyusahkan mereka yang sudah berkeluarga,” kata Abu Bakar Md Akhir, 40, yang sudah setahun menjadi gelandangan dan tinggal di atas tembok di bawah Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini.

Dia ke Pulau Pinang pada tahun 2000 dari kampungnya di Bagan Serai, Perak dan bekerja di kedai makan sebagai tukang masak di Stesen Bas Butterworth lama, yang kini dinaik taraf menjadi Penang Sentral.

“Ketika itu saya tinggal di rumah sewa bersama rakan dan tidak pernah terbayang untuk tinggal serta tidur di atas tembok di bawah lebuh raya ini.

“Selepas berhenti kerja pada 2003 selepas kedai makan tempat bekerja dirobohkan bagi tujuan pembinaan landasan kereta api berkembar, saya mula menganggur dan cuba mencari kerja lain,” katanya.

Abu Bakar berkata, ketika itu, dia mula bekerja sebagai tukang basuh kontena, tukang cuci dan kerja lain serta dibayar secara gaji harian.

“Ketika itu, saya masih mempunyai wang untuk membayar sewa bilik bersama-sama rakan lain, namun selepas semua rakan keluar rumah dan berpecah, saya terpaksa keluar dari rumah sewa.

“Sejak 2016, saya mula menumpang tidur dan tinggal di kawasan pembinaan Penang Sentral, namun lama-kelamaan selepas kawasan itu mula dimajukan, saya terpaksa berpindah serta tidur di tepi jalan sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui, semalam.

Abu Bakar berkata, perasaannya kini tidak dapat digambarkan kerana bercampur baur, malah kadang-kala berasa malu apabila orang ramai melihat keadaannya bersama beberapa rakan lain tidur dan tinggal di kawasan itu.

“Ayah pernah melarang saya ke Butterworth untuk mencari kerja, namun saya enggan mendengar cakapnya sebaliknya mengikut perasaan ketika itu untuk keluar mencari pengalaman.

“Saya tidak pernah menyesal dengan tindakan diambil dan sehingga sekarang keluarga saya di kampung masih belum mengetahui keadaan sebenar dan hanya tahu saya bekerja di sini,” katanya.

Dia yang masih bujang berkata, kawasan itu dihuni lebih 20 individu termasuk seorang wanita yang semuanya adalah warga tempatan dan bekerja di kawasan sekitar Butterworth.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 6:39 AM