FOTO hiasan
FOTO hiasan
BERNAMA

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 55 kilogram (kg) produk babi dalam dua kejadian berasingan di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2.

MAQIS dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian pertama 28 Julai lalu, sejumlah 20 kilogram (kg) produk sosej babi dirampas pegawai penguat kuasa MAQIS di balai ketibaan antarabangsa KLIA yang dibawa masuk dari China oleh warga tempatan, sekitar jam 6 petang.

“Selepas pemeriksaan dijalankan, terdapat 20 pek produk babi (sosej babi) ditemui dalam bagasi dibawa penumpang,” katanya.

Sementara itu, pada kejadian 6 pagi semalam pula, sejumlah 35 kg produk sama diletakkan dalam tiga beg berasingan, juga dibawa masuk dari China oleh seorang warga tempatan dirampas di Balai ketibaan antarabangsa KLIA 2.

Kenyataan itu menyebut, produk berkenaan dirampas MAQIS dan akan dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan bagi mencegah penularan virus Africa Swine Fever (ASF) yang akan memberi impak negatif sekiranya memasuki negara.

Mengulas lanjut, MAQIS berkata, kerajaan ada mengeluarkan arahan larangan membawa masuk dan pengimportan daging babi dan produk babi dari negara yang mengalami wabak penyakit ASF secara bawa tangan dibawa penumpang di laluan udara, darat serta laut.

Antara produk berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi hidup, daging babi segar, babi sejuk beku, produk babi dalam tin dan diproses seperti sosej dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 3:12 PM