DURIAN dan motosikal yang ditinggalkan lelaki diburu polis di dusun penduduk di Kampung Lubok Batu. FOTO Ihsan Polis
DURIAN dan motosikal yang ditinggalkan lelaki diburu polis di dusun penduduk di Kampung Lubok Batu. FOTO Ihsan Polis
Zaid Salim


POLIS memburu seorang lelaki yang dipercayai terbabit mencuri durian milik penduduk di Kampung Lubuk Batu di Marang.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit pada mulanya ditangkap penduduk di kampung itu, kira-kira 7 pagi, Rabu lalu.

Bagaimanapun, katanya, selepas suspek diserahkan kepada penduduk kampung yang berada di kawasan terbabit keadaan menjadi kelam-kabut sehingga menyebabkan suspek berjaya meloloskan diri.

“Suspek didapati meninggalkan satu guni yang mengandungi 13 durian yang disyaki hasil curi berhampiran motosikal dipercayai milik suspek di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian juga mendapati ada kesan terbakar pada motosikal itu tetapi kami tidak pasti sama motosikal Honda EX5 itu dibakar atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian anak pemilik dusun yang terbabit dalam insiden itu juga sudah membuat laporan polis petang semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang mempunyai rekod berkaitan dadah terbabit dipercayai melakukan kegiatan mencuri durian bagi mendapatkan wang mudah untuk membeli dadah.

“Soal siasat kita mendapati suspek dipercayai melakukan jenayah itu secara sendirian dan kita sedang mengesan lelaki terbabit bagi siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kejadian turut menjadi tular apabila rakaman video motosikal di dakwa milik suspek mencuri durian yang terbakar tersebar di media sosial sejak semalam.

Malah, gambar didakwa suspek sewaktu ditangkap penduduk juga dimuat naik laman Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 4:42 PM