LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Nor Amalina Alias


Bachok: Dua lagi suspek lelaki yang terbabit dalam kejadian pecah rumah di Kampung Sungai Gali, Beris Lalang, sudah ditangkap polis, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata, kedua-dua suspek ditahan di rumah masing-masing di sebuah kampung di Semerak, Pasir Puteh.

Katanya, sehingga kini tiga suspek sudah ditahan termasuk suspek pertama berusia 45 tahun ditahan Sabtu lalu.

"Suspek kedua berusia 39 tahun ditahan orang awam dan diserahkan kepada polis, manakala suspek ketiga berusia 18 tahun ditahan polis dalam serbuan di rumah suspek.

"Polis turut merampas kereta Perodua Kembara milik bapa suspek ketiga yang digunakan untuk melakukan kegiatan pecah rumah.

"Kami juga turut menemui semula motosikal Honda C70 milik mangsa yang dilarikan suspek ketika memecah masuk kediaman mangsa pada Sabtu lalu," katanya ketika ditemui di Bachok, di sini, hari ini.

Yusrizal berkata, hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek termasuk suspek pertama adalah positif metamphetamine.

Katanya, semakan rekod ketiga-tiga suspek yang juga penganggur mendapati kesemua mereka mempunyai rekod lampau terutamanya dalam kesalahan membabitkan narkotik (dadah).

"Suspek pertama dan kedua, masing-masing mempunyai enam rekod berkaitan penyalahgunaan dadah dan memiliki dadah manakala suspek ketiga mempunyai satu rekod lampau juga berkaitan dadah," katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan termasuk jika terbabit sindiket curi motosikal.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 45 tahun dipukul penduduk selepas dia ditangkap ketika mahu mengambil barangan curi, manakala dua rakan subahat berjaya melarikan diri dalam kejadian pecah rumah, 30 Januari lalu.

Perbuatan penduduk memukul lelaki itu tular di aplikasi WhatsApp melalui tiga klip video berdurasi antara lapan hingga 20 saat dengan lelaki berkenaan merayu selepas dia dipukul.

Berita berkaitan

Dah kena belasah baru ingat Tuhan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 4:31 PM