DR Quaza Nizamuddin pada sidang media mengenai isu permit import keratan ayam di Putrajaya, hari ini. FOTO BERNAMA.
DR Quaza Nizamuddin pada sidang media mengenai isu permit import keratan ayam di Putrajaya, hari ini. FOTO BERNAMA.
Siti A’isyah Sukaimi


JABATAN Perkhidmatan Veterinar menafikan tuduhan kononnya wujud ketirisan dan salah laku dalam permohonan import keratan ayam serperti didakwa.

Sebaliknya, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, semua proses permohonan dilaksana mengikut syarat dan peraturan yang ketat serta sistematik.

Katanya, ia juga mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, dakwaan wujud ketirisan dan salah laku itu timbul apabila ada pihak menularkan di media sosial bahawa permit import dimonopoli syarikat tertentu selain tidak patuh peraturan.

“Sedangkan amalan kita, pemohon mesti melalui proses tertentu dan perlu memenuhi kriteria ditetapkan misalnya, kita perlu memeriksa loji dan kilang mereka, meneliti dokumen dikemukakan termasuk peralatan di kilang mereka.

“Malah, kita mempunyai jawatankuasa di peringkat jabatan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam memastikan pemohon ini betul-betul terbabit dalam pemprosesan keratan ayam,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Quaza Nizamuddin berkata, selepas itu, jawatankuasa terakhir dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membuat keputusan sama ada permohonan diluluskan atau sebaliknya.

Dalam pada itu, katanya, pengimportan keratan ayam ke negara ini adalah untuk mengisi keperluan sektor hiliran seperti penghasilan sosej, burger dan nugget bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Berdasarkan angka tahun lalu, negara mengimport keratan ayam dengan nilai RM468 juta serta pulangan mencecah RM730 juta. Produk hiliran itu dipasarkan di pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Sehingga kini, kerajaan meluluskan 62 daripada 138 syarikat manakala, bakinya tidak diluluskan kerana gagal memenuhi kriteria,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 12:56 PM