SEBAHAGIAN tong LPG yang dirampas. FOTO KPDNHEP
SEBAHAGIAN tong LPG yang dirampas. FOTO KPDNHEP
Muhamaad Razis Ismail


PEJABAT Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menyita 3,226 tong gas petroleum cecair dianggarkan bernilai RM193,782 dalam serbuan di kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di Kota Bharu.

Dalam operasi bermula jam 9 pagi semalam dan berakhir 5 pagi ini, seramai 25 pegawai penguat kuasa KPDNHEP Kelantan terbabit dalam operasi itu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Azanizam Affendi Juri berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mengesyaki pemegang lesen barang kawalan LPG memindahkan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.

“Pemilik lesen berusia 50-an disyaki melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Susulan itu, kita menyita semua tong gas pelbagai jenama dianggarkan bernilai hampir RM200,000 untuk tindakan lanjut. Kita akan panggil pemilik premis untuk merakamkan percakapannya.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 akta yang sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pihaknya sentiasa komited memantau dan menjalankan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan KPDNHEP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 9:25 AM