Anggota penguatkuasa KPDNHEP negeri Johor melakukan operasi khas periksaan di premis runcit dan borong LPG seluruh Johor, semalam. FOTO IHSAN KPDNHEP JOHOR
Anggota penguatkuasa KPDNHEP negeri Johor melakukan operasi khas periksaan di premis runcit dan borong LPG seluruh Johor, semalam. FOTO IHSAN KPDNHEP JOHOR
Omar Ahmad


Johor Bahru: Premis yang menjual gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen dengan berselindung di sebalik bengkel kenderaan serta kedai tayar di Taman Daya di sini, diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Johor Mohd Hanizam Kechek berkata, serbuan pada 3 petang itu berjaya merampas dan menyita 141 tong gas, dua lori dan dua motosikal yang dianggarkan bernilai RM66,228.

Menurutnya, aktiviti penjualan dan pengedaran gas itu di sebalik bengkel dipercayai untuk mengelirukan pihak berkuasa.

"Premis itu turut dijadikan tempat simpanan bagi tong LPG melalui pintu belakang premis.

"Serbuan dilakukan hasil risikan selama dua minggu oleh anggota penguat kuasa dan tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961," katanya.

Mohd Hanizam berkata, premis itu dikesan menjalankan aktiviti terbabit dalam satu operasi khas di sekitar daerah ini semalam.

Menurutnya, pemeriksaan memfokuskan kepada penguatkuasaan mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Katanya, ia berkaitan dengan pematuhan penjualan LPG mengikut harga kawalan dan juga kebenaran menjual melalui lesen yang dikeluarkan oleh KPDNHEP.

"Berdasarkan rekod, sebanyak 210 premis diperiksa oleh KPDNHEP Johor ke atas peniaga runcit dan borong yang menjual LPG di negeri itu sejak 18 Januari lalu hingga semalam.

"Susulan dari pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 14 kesalahan dikesan dengan jumlah kompaun sebanyak RM7,000.

"Sebanyak 13 kesalahan kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 kerana tidak meletakkan tanda harga kepada barangan yang dipamer untuk jualan.

"Satu kes lagi kerana gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 iaitu memiliki atau berurusan dengan barang kawalan berjadual secara borong atau runcit tanpa lesen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 4:58 PM