FOTO yang tular baru-baru ini. FOTO IHSAN PEMBACA
FOTO yang tular baru-baru ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Izlaily Nurul Ain Hussein


PADAH mempamerkan aksi lagak ngeri dalam video tular baru-baru ini, empat penunggang motosikal akhirnya berjaya dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum disaman.

Dalam kejadian dipercayai berlaku di Kota Tinggi, JPJ berjaya mengesan semua terbabit dalam insiden berkenaan menerusi video dimuat naik di laman sosial, baru-baru ini.

Berdasarkan video itu, semua penunggang motosikal dengan jelas menunjukkan aksi berbahaya seperti mengangkat tayar hadapan atau ‘wheelie’ selain tidak memakai topi keledar di jalan raya.

Pengarah JPJ Johor, Razali Wagiman berkata, bertindak atas maklumat, kelmarin, anggota penguat kuasa JPJ ke rumah salah seorang pemilik motosikal berdasarkan nombor pendaftaran diambil daripada video berkenaan.

“Ketika tiba di rumah pemilik motosikal itu, kami mendapati kenderaan berkenaan ada di rumah.

“Hasil siasatan mendapati penunggang juga berada di rumah sebelum diarahkan memanggil tiga suspek lain yang terbabit dalam video.

“Kita berjaya menemui semua suspek sebelum beberapa perkara diterangkan kepada waris,” katanya.

Razali berkata, keempat-empat penunggang motosikal itu adalah pelajar sekolah berusia 14 hingga 15 tahun di mana waris mereka tidak mengetahui kesalahan dan video tular itu.

“Waris suspek tidak tahu akan video tular dan kesalahan dilakukan anak mereka. Semua suspek adalah pelajar sekolah menengah di bawah umur,” katanya.

Hasil siasatan awal, Razali berkata, tujuan suspek melakukan aksi berkenaan adalah hanya untuk suka-suka serta untuk dimuat naik di laman sosial.

“Suspek sudah diambil keterangan di hadapan waris serta menunjukkan lokasi kejadian. JPJ kemudiannya mengeluarkan Notis Saman JPJ P(22) kepada semua suspek, kes juga diterangkan kepada waris untuk diselesaikan di mahkamah mengikut tarikh ditetapkan dalam notis.

“Pemeriksaan dijalankan terhadap semua motosikal suspek dan mendapati nombor casis serta nombor enjin memuaskan manakala siasatan selari daripada sudut undang-undang,” katanya.

Saman dikeluarkan JPJ mengikut Seksyen 39 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah umur dan Seksyen 23 (1) dan Seksyen 90(1) akta sama kerana lesen kenderaan motor tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran.

Selain itu, mereka juga berdepan kesalahan mengikut Seksyen PU (A)043/73-004 kerana tidak memakai topi keledar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 4:57 PM