Anbalagan (tiga dari kanan) bersama anggotanya melakukan pemeriksaan terhadap pekerja pusat penyelaras judi dalam talian di Bayan Lepas, malam tadi. Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
Anbalagan (tiga dari kanan) bersama anggotanya melakukan pemeriksaan terhadap pekerja pusat penyelaras judi dalam talian di Bayan Lepas, malam tadi. Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
Hadzlihady Hassan


BELUM dapat gaji dah kena cekup. Itu yang berlaku kepada lima lelaki apabila mereka ditahan sepasukan polis, malam tadi selepas dikesan menjadikan sebuah kedai di kondominium mewah di Sungai Ara, Bayan Lepas dekat Balik Pulau sebagai pusat menyelaras judi dalam talian.

Dalam operasi 11 malam itu, lima lelaki berusia 19 hingga 40 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya yang melakukan risikan sejak beberapa minggu lalu.

Kesemua mereka itu didapati bekerja dengan sindiket judi dalam talian dan mampu memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata, sindiket terbabit didapati beroperasi sejak hampir sebulan lalu dengan berselindung di sebalik perniagaan membaiki komputer.

Menurutnya, taktik sindiket terbabit berjaya dikesan polis dan hasil pemeriksaan mendapati mereka sebenarnya menjadikan premis berkenaan sebagai pusat menyelaras operasi judi dalam talian.

“Sindiket itu menggajikan lima pekerja dengan pendapatan RM2,000 sebulan setiap seorang dan mereka ini akan bekerja mengikut syif.

“Bagaimanapun, semua pekerja terbabit tidak sempat menerima gaji kerana mereka ditahan selepas hampir sebulan bekerja di premis berkenaan,” katanya yang ditemui di lokasi serbuan, malam tadi.

Anbalagan berkata, hasil siasatan mendapati sindiket itu menjadikan premis berkenaan sebagai pusat operasi untuk menyelaras pertaruhan lumba kuda, anjing dan pelbagai lagi bentuk judi yang dipercayai berlangsung di luar negara.

“Mereka menggunakan pelbagai peralatan komputer canggih untuk mengawal pertaruhan terbabit dan kita kini sedang mengesan dalang sebalik kegiatan itu.

“Serbuan kali ini agak berbeza berbanding sebelumnya kerana sindiket terbabit tidak menjalankan pertaruhan, sebaliknya mereka hanya bertindak sebagai penyelaras untuk aktiviti judi yang dipercayai berlangsung di luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 2:54 PM