GUAN Eng tiba di SPRM, Putrajaya bagi memberi keterangan berkaitan isu terowong dasar laut di Pulau Pinang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
GUAN Eng tiba di SPRM, Putrajaya bagi memberi keterangan berkaitan isu terowong dasar laut di Pulau Pinang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Samadi Ahmad


BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberikan keterangan kira-kira tujuh jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini, berhubung siasatan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan hadir ke pejabat SPRM hari ini untuk memberi keterangan selepas dipanggil ke pejabat SPRM pada Rabu lalu.

Beliau ditemani peguamnya, RSN Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong memberi keterangan bermula 12.40 tengah hari dan berakhir pada 7.40 malam.

Ketika keluar, Guan Eng enggan memberi sebarang komen kepada pihak media yang menunggu di luar bangunan SPRM.

Menurut sumber SPRM, Guan Eng akan hadir memberi keterangan kali ketiga 11 pagi esok.

Terdahulu media melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan ke atas projek bernilai RM6.3 bilion itu tertumpu kepada pengubahan wang haram dan menjangkakan siasatan kes selesai dalam dua hingga tiga minggu.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan beberapa Exco dan bekas Exco kerajaan Pulau Pinang dilaporkan turut memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek mega berkenaan.

Projek terowong bawah laut sepanjang 7.2 kilometer itu disiasat SPRM sejak 2017 dengan tiga jalan utama bertujuan mengurangkan kesesakan di jambatan pertama.

Ia menghubungkan Jalan Pangkor Pulau Tikus dan Bagan Ajam di Butterworth dan projek berkenaan dijangka dimulakan pada 2023.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 8:08 PM