Abdul Rahman menjemur ikan masin di belakang kediamannya yang terhindar daripada hakisan pantai selepas tembok penahan ombak dibina JPS Melaka di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara. FOTO Hassan Omar
Abdul Rahman menjemur ikan masin di belakang kediamannya yang terhindar daripada hakisan pantai selepas tembok penahan ombak dibina JPS Melaka di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


KEHADIRAN Ramadan dan Aidilfitri kali ini lebih bererti buat 30 penduduk di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Alor Gajah berikutan tidak lagi dibelenggu kebimbangan kediaman mereka diancam hakisan pantai teruk.

Sebelum ini, lima keluarga di tepi pantai itu sentiasa risau memikirkan masalah itu dan kini mereka lega apabila tembok penahan ombak siap dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, Februari lalu.

Penduduk, Abdul Rahman Daud, 60, berkata sebelum tembok sepanjang 115 meter itu siap sepenuhnya, dia dan empat keluarga amat bimbang kediaman mereka yang hanya beberapa meter dari pantai bakal ditelan ombak besar.

"Alhamdulillah, kami bersyukur kerajaan negeri membina tembok itu dan dengan adanya struktur batu konkrit itu, insya-Allah kediaman kami terselamat daripada dihanyutkan ombak besar.

"Ramadan dan Aidilfitri kali ini terasa amat bermakna kerana kediaman kami tidak lagi diancam bahaya hakisan pantai," katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan hakisan pantai mulai Julai 2019 berikutan ombak angin selatan, mengorek pasir pantai sedikit demi sedikit sebelum menjadi bertambah serius mulai Oktober lalu.

Selain kediaman Abdul Rahman, kediaman empat jirannya turut terjejas akibat hakisan termasuk sebahagian daripada bahagian bawah lantai dapur mereka berlubang.

Berikutan itu, mereka merayu kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan kediaman mereka daripada dihanyutkan ombak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 4:12 PM