Fairuz Zaidan


PAMERAN Hartanah MyRumah 2019 kali ini mempamerkan lebih 12 projek perumahan di sekitar negeri Melaka dan Johor, merangkumi sejumlah 2,653 unit dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM681 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Interim The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Mustapha Kamil Mohd Janor berkata, sejak diperkenalkan pada 2016, MyRumah anjuran NSTP bekerjasama dengan 60 syarikat pemaju perumahan tempatan dan 19 syarikat bukan pemaju.

“MyRumah mengenengahkan konsep 4P iaitu menggabungkan elemen pameran (exhibiton), pengalaman (experience), pendidikan (educators) dan persekitaran (environment).

“Saya menyeru orang ramai singgah ke MyRumah 2019 di Melaka dan dapatkan penjelasan lebih lanjut daripada penceramah hartanah yang dijemput,” katanya.

Hadir sama EXCO Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen; Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeannie Leong dan Pengurus Besar Agensi dan Korporat (Bahagian Pengiklanan) NSTP, Roche Chew.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Abd Majid Mohd Nasir berkata, rakyat Malaysia khususnya isi rumah berpendapatan RM8,000 sebulan atau M40 wajar merebut peluang ke pameran hartanah ini, sekali gus meninjau pelbagai projek perumahan pada harga berpatutan.

“Malah, kaunter LPM di pameran hartanah MyRumah turut menyediakan senarai projek Rumah Mampu Milik (RMM) di Melaka yang boleh dimiliki pada harga RM180,000 dan ke bawah.

“Petugas LPM sedia untuk memberi khidmat bantuan serta nasihat bagi memahami cita rasa pembeli untuk memiliki kediaman idaman,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Projek SPNB Aspirasi (SPNB), Mohamad Ismail Basiron berkata, ini kali kedua syarikat itu menyertai pameran hartanah MyRumah, sekali gus bersemangat menawarkan dua projek perumahan baharu iaitu di Taman Sutera Wangi Fasa 3, Batu Berendam serta Taman Kelubi Idaman, Jasin.

“Bagi projek Taman Sutera Wangi Fasa 3, dua jenis kediaman ditawarkan iaitu semi-D dua tingkat serta banglo setingkat pada harga bermula RM580,000 dan RM650,000.

“Taman Kelubi Idaman pula menawarkan kediaman teres dua tingkat dan rumah bandar (townhouse) masing-masing pada harga RM250,000 dan RM160,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 7:45 PM
MUSTAPHA Kamil (dua dari kiri) dan Mohd Rafiq (dua dari kanan) bersama Jeannie (kiri) serta Roche melancarkan Siri Kedua Pameran Hartanah MyRumah 2019 anjuran NSTP di Aeon Bandaraya Melaka. FOTO KHAIRUNISAH LOKMAN
MUSTAPHA Kamil (dua dari kiri) dan Mohd Rafiq (dua dari kanan) bersama Jeannie (kiri) serta Roche melancarkan Siri Kedua Pameran Hartanah MyRumah 2019 anjuran NSTP di Aeon Bandaraya Melaka. FOTO KHAIRUNISAH LOKMAN