CHEW (tengah) bersama Linggaraj (kiri) dan Mohd Haslan pada sidang media Program MyRumah di AEON Mall Ipoh Klebang, Ipoh, hari ini. FOTO Abdullah Yusof.
CHEW (tengah) bersama Linggaraj (kiri) dan Mohd Haslan pada sidang media Program MyRumah di AEON Mall Ipoh Klebang, Ipoh, hari ini. FOTO Abdullah Yusof.
Oleh Shamsul Kamal Amarudin


SIRI Pameran Hartanah MyRumah anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) buat julung kalinya diadakan di negeri Perak.

Pameran siri kelima dan terakhir untuk tahun ini bakal menemui orang ramai di pusat beli-belah AEON Mall Ipoh Klebang bermula 10 pagi hingga 10 malam selama tiga hari mulai 16 hingga 18 November ini.

Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Roche Chew, berkata lima pemaju dan satu syarikat bukan pemaju akan menyertai pameran itu dengan lebih 1,000 unit kediaman ditawarkan untuk dijual.

Beliau berkata, lima pemaju mengambil bahagian ialah SPNB Aspirasi Sdn Bhd, Rima Properties Holding Sdn Bhd, Sun Land Properties Sdn Bhd, Casa Subang Sdn Bhd dan P K Lee Sdn Bhd.

Katanya, syarikat bukan pemaju yang mengambil bahagian pula ialah Takaful Ikhlas Berhad.

“Semua kediaman dijual berharga antara RM300,000 hingga RM500,000 seunit,” katanya pada sidang media di AEON Mall Ipoh Klebang di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengiklanan Wilayah NSTP, S Linggaraj dan Pengurus Projek MyRumah, Mohd Haslan Abd Abbas.

Chew berkata, antara projek perumahan dijangka menjadi tarikan ialah projek rumah semi-d Metro Maya di Batu Gajah, rumah teres dua tingkat di Taman Klebang Rima, rumah teres dua tingkat di Sunland Residence di Jalan Kuala Kangsar serta rumah semi-d setingkat dan dua tingkat di Taman Permai Utama, Gurun, Kedah.

Beliau berkata, selain pameran kediaman untuk dijual, pihaknya turut menampilkan pelbagai program menarik bagi pengunjung termasuk ceramah oleh enam pakar hartanah antara lain membincangkan isu seperti lima ‘trend’ rekaan dan hiasan rumah pada 2019 serta tips membeli banyak rumah dalam satu masa, cabutan nombor bertuah serta aktiviti untuk kanak-kanak.

Katanya, program kali ini turut menyajikan penampilan istimewa personaliti Maria Tunku Sabri yang akan melakukan demonstrasi masakan pada waktu tengah hari 18 November, selain berkongsi pengalamannya dalam bidang hartanah termasuk kisah rumah tujuh tingkatnya yang menjadi tular dalam media sosial.

“Kami menyasarkan 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari program berkenaan yang dibuka percuma kepada orang ramai.

“Majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Yong Choo Kiong,” katanya.

Beliau berkata, program MyRumah di Ipoh adalah yang kelima tahun ini selepas Shah Alam, Sungai Petani, Johor Bahru dan Melaka dengan anggaran pengunjung di empat destinasi itu ialah 48,500 orang.

Katanya, MyRumah bukan sahaja menawarkan unit rumah pada harga berpatutan untuk dibeli, malah menyediakan maklumat penting dan mendalam mengenai pelaburan hartanah kerana objektif utama program adalah membantu pembeli rumah membuat keputusan penting dalam kehidupan mereka.

“Ia selaras dengan konsep 3E menerusi MyRumah iaitu Exhibition (pameran) hartanah, Education (pendidikan) bagaimana memilih rumah sesuai serta aspek lain serta Experience (pengalaman) menyertai pelbagai aktiviti menarik sepanjang pameran itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 7:24 PM