KHAIRUL Dzaimee menunjukkan pasport palsu disorokkan dalam patung panda yang cuba dilupuskan suspek.  FOTO Mohd Fadli Hamzah.
KHAIRUL Dzaimee menunjukkan pasport palsu disorokkan dalam patung panda yang cuba dilupuskan suspek. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Siti A’isyah Sukaimi


DALANG utama sindiket pemalsuan cop Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) ditahan dalam serbuan di kondominium di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Mereka seramai lima orang iaitu dua lelaki dan tiga wanita, semuanya warganegara Vietnam ditahan dalam serbuan pada 12 tengah malam semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, penahanan itu hasil risikan Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa, malah sindiket dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu.

“Aktiviti haram ini berlangsung di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur serta menyasarkan rakyat Vietnam yang mempunyai masalah untuk pulang ke negara asal selepas tinggal lebih masa.

KHAIRUL Dzaimee (tengah) bersama pegawainya menunjukkan pasport dan barang dirampas daripada sindiket itu. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
KHAIRUL Dzaimee (tengah) bersama pegawainya menunjukkan pasport dan barang dirampas daripada sindiket itu. FOTO Mohd Fadli Hamzah.

“Kebanyakan pelanggan mereka adalah yang masuk ke negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) tetapi tidak pulang selepas pas berkenaan tamat, sebaliknya terus bekerja di Malaysia secara haram,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, ketika serbuan, suspek turut bertindak ganas dengan seorang daripadanya mengugut untuk mencederakan anggota dengan pisau pemotong daging.

“Selain itu, suspek utama juga cuba menghapuskan bukti dengan mencampak keluar semua cop imigresen palsu serta beberapa pasport yang dimasukkan dalam patung beruang panda dari tingkat 13 kondominium itu.

“Namun kita sempat menahannya dan pemeriksaan menemui lapan cop keselamatan Imigresen yang dipalsukan iaitu cop keluar dan cop masuk selain, satu unit komputer riba dan 61 pasport milik warganegara Vietnam. Sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza disita,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana memalsukan suatu pas atau endorsement, Seksyen 56(1)(1) akta sama iaitu menggunakan pas yang dipalsukan dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport yang dikeluarkan untuk kegunaan orang lain tanpa kebenaran sah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 5:39 PM