SUSPEK berjaya ditahan selepas kelibat dirakam CCTV kedai serbaneka. FOTO Ihsan PDRM.
SUSPEK berjaya ditahan selepas kelibat dirakam CCTV kedai serbaneka. FOTO Ihsan PDRM.
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan seorang lelaki aktif menyamun kedai serbaneka 24 jam sekitar Cheras, Kuala Lumpur sejak awal tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di Bandar Tun Razak kira-kira 1 petang kelmarin.

“Siasatan lanjut mendapati suspek bersama rakan masih bebas berusia 28 tahun aktif menyamun kedai serbaneka sejak awal tahun lalu dan empat kes dikesan sejak Mei yang membabitkan kerugian lebih RM1,000.

“Modus operandi jenayah mereka adalah seorang akan menunggu di luar, manakala seorang lagi suspek masuk ke dalam premis dengan memakai topi keledar tutup muka penuh sambil membawa senjata pisau.

“Mereka yang melakukan kegiatan itu pada awal pagi iaitu sekitar 4 hingga 6 pagi dan menyasarkan wang tunai di dalam mesin pendaftar tunai selain rokok ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan pihaknya menyiasat sama ada terbabit jenayah lain.

Katanya, suspek direman empat hari bermula semalam hingga 14 Julai bagi siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Usaha memburu seorang lagi suspek giat dijalankan dan orang ramai diminta berhati-hati sekiranya menemui individu memakai topi keledar bertutup muka penuh di kedai serbaneka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 7:37 PM