Ismadi menunjukkan pistol palsu yang dirampas manakala gambar kecil antara barang rampasan. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Ismadi menunjukkan pistol palsu yang dirampas manakala gambar kecil antara barang rampasan. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


LAPAN individu yang terbabit kegiatan samun kedai serbaneka 24 jam ditahan polis dalam tujuh serbuan berasingan di sekitar Serdang dan Petaling Jaya pada 28 dan 29 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja kedai serbaneka 24 jam di Taman Kinrara yang memaklumkan disamun dua lelaki memakai topi keledar berpenutup muka penuh dan bersenjatakan parang 20 Ogos lalu.

“Dalam kejadian 12.48 tengah malam itu, suspek dikatakan mahu membeli rokok, namun bertindak mengacu parang ke arah mangsa sebelum melarikan wang tunai dalam mesin wang tunai dan beberapa kotak rokok.

“Hasil laporan itu, kami melakukan tujuh serbuan di Seri Kembangan, Puchong serta Petaling Jaya dan menahan lapan lelaki berusia antara 18 hingga 23 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hari ini.

Ismadi berkata, kumpulan itu dipercayai aktif melakukan kegiatan berkenaan di sekitar daerah itu, Petaling Jaya dan Brickfields, Kuala Lumpur sejak dua bulan lalu.

“Kumpulan ini mensasarkan kedai serbaneka 24 jam sebagai lokasi untuk melakukan kegiatan samun dengan melakukannya pada tengah malam dan awal pagi.

“Dalam serbuan tangkapan itu juga, kami merampas kira-kira 50 rokok, wang tunai RM700, empat topi keledar tutup muka penuh, lapan ‘walkie-talkie’, sebuah beg galas, pistol palsu dan tiga motosikal dipercayai digunakan mereka untuk melakukan kegiatan samun.

“Suspek direman seminggu dan reman mereka disambung enam hari lagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 12:27 PM